Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan bincang krisis kemanusiaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin telah bekerjasama dalam menganjurkan Persidangan Antarabangsa Islam di Alam Melayu ke-11 (ICON IMAD XII) 2023 yang telah berlangsung di Hotel Adya Langkawi, Kedah Darul Aman, Malaysia selama dua hari, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh UNISSA, hari ini, persidangan yang diadakan pada 25 dan 26 Julai lalu itu melibatkan penganjuran bersama empat buah institusi pengajian tinggi (IPT) di Asia Tenggara secara bergilir iaitu Fakulti Usuluddin, UNISSA; Universiti Prince Songkla, Thailand; Pascasarjana UIN Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Bandung, Indonesia; dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Malaysia selaku tuan rumah pada tahun ini.

    Sembilan orang wakil UNISSA telah membentangkan kertas kerja semasa persidangan berkenaan, iaitu Profesor Madya Kamaludin Nur Murjani, Dr Hajah Sri Rahayu @Nurjanah binti Haji Dollah, Dr Ahmad Baha bin Haji Mokhtar, Dr Hajah Masuriyati binti Haji Yahya, Dr Hajah Siti Jariah @Hajah Aleya Fatehah binti Haji Japar, Dr Nurefnazahani binti Haji Durani, Awang Khairul Nazif bin Haji Awang Damit dan Dayang Khairun Naqibah @Khairun Nadzirah binti Haji Lazim @Haji Abdul Azim.

    Manakala itu, Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Profesor Dato’ Dr Mohammad Fakhrudin bin Haji Abdul Mokti telah menyampaikan pembentangan utama bertajuk Idea Ekstremisme dan Bahayanya dalam Masyarakat Manusia dan Penyelesaiannya Menurut Falsafah Islam.

    ICON IMAD kali ini telah berjaya mengumpulkan lebih 120 kertas kerja yang dibentangkan secara bersemuka dan dalam talian dengan penyertaan 15 buah IPT dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Negara Brunei Darussalam.

    Menyedari kepentingan dunia penyelidikan khususnya yang melibatkan agenda masyarakat Nusantara, pihak Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur mengorak langkah untuk menganjurkan Seminar ICON-IMAD XII 2023 yang bertemakan Tradisi Islam Melayu Mendepani Krisis Kemanusiaan Serantau.

    Antara objektif seminar adalah memperkuatkan jaringan akademik dan penyelidikan semasa serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama daripada pelbagai aspek khususnya dalam penyelidikan antara negara Nusantara.

    Di samping berkongsi hasil penyelidikan, persidangan juga menjadi platform untuk menjalin hubungan strategik bersama rakan-rakan dari IPT luar dalam sama-sama memperkasa kebudayaan keilmuan yang akan membangun tamadun Islam di dunia Melayu.

    Pada hari penutupan majlis, ICON IMAD 2023 turut mengadakan acara forum bersama di mana ahli-ahli panel telah membincangkan topik Islam-Malay Tradition Facing the Regional Humanitarian Crisis antara Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Malaysia, Profesor Dr Mohammad Fauzi bin Hamat; Pensyarah Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar; Pengarah Pasca Sarjana UIN Sunan Gunung, Djati Bandung, Indonesia, Profesor Dr H Supiana, M Ag; dan Timbalan Dekan, Kolej Pengajian Islam, Universiti Prince Songkla Thailand, Profesor Madya Dr Muhammad Afifi Azzalihi.

    Seterusnya merupakan acara penutupan majlis di mana Dekan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Dr Mohammad Fauzi telah menyampaikan hadiah-hadiah kepada tiga orang pembentang terbaik bagi ICON-IMAD XII 2023 termasuk Dr Haji Ahmad Baha.

    Selepas itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, telah menyampaikan cenderahati kepada Profesor Dr Mohd Fauzi.

    Menurut UNISSA, penganjuran ICON-IMAD XII 2023 dilihat amat tepat untuk merealisasikan satu perbincangan daripada kalangan penyelidik, agensi atau mana-mana individu secara langsung atau tidak dalam membincangkan krisis kemanusiaan yang dihadapi dalam dunia pada hari ini.

    Delegasi dari UNISSA bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan UNISSA
    Sesi perbincangan yang berlangsung semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan UNISSA
    Gambar serahan UNISSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda