Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Persidangan bincang strategi pengurusan bencana serantau

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Negara Brunei Da-russalam menerusi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHDN) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana yang berlangsung selama empat hari hingga esok di Brisbane, Australia.

    Anjuran bersama Pejabat PBB untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) dan kerajaan Australia, persidangan mengetengahkan isu bencana semasa dan strategi pengurusan bencana sedunia.

    Dalam kenyataannya, hari ini, KHEDN menjelaskan bahawa persidangan kali ini merangkumi beberapa acara termasuk sesi forum menteri-menteri, dialog peringkat tinggi, sesi tematik, simposium dan pameran.

    Seramai 3,000 peserta dari 40 buah negara menyertai persidangan berkenaan secara fizikal dan maya yang mana pada tahun ini, ia telah melibatkan penyertaan daripada menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi pengurusan bencana serta pegawai-pegawai kanan kerajaan serantau.

    Selain itu, ia turut dihadiri oleh ketua-ketua agensi daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa, institusi penyelidikan, agensi-agensi media, badan-badan sukarelawan antarabangsa dan badan-badan bukan kerajaan antarabangsa.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menghadiri persidangan berkenaan. – Gambar serahan KHEDN

    Persidangan dimulakan dengan forum menteri-menteri yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengurusan Kecemasan Australia, Tuan Yang Terutama Murray Watt dan Utusan Khas Setiausaha Agung bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizurtori.

    Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang turut disertai oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.

    Yang Berhormat Dato juga berkesempatan membuat kunjungan muhibah kepada TYT Murray Watt.

    Persidangan itu juga mengongsikan pengalaman dalam memenuhi dan melaksanakan komitmen mereka terhadap Kerangka Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 yang mana Brunei Darussalam menekankan kepentingan penyelarasan dan pengukuhan pengadaptasian perubahan iklim serta pengurangan risiko bencana di peringkat kebangsaan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam laporannya telah menyampaikan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk menyelaraskan dasar pengurusan bencana kebangsaan dengan dasar antarabangsa yang dipersetujui bersama iaitu Kerangka Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.

    Turut disampaikan adalah kedudukan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei Darussalam iaitu dasar kebangsaan dalam meningkatkan kapasiti untuk menangani perubahan iklim dan strategi pengadaptasian kebangsaan kepada impak yang berpunca daripada perubahan iklim bagi jangka masa panjang.

    Dalam sesi berasingan, Pengarah NDMC, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin serta pegawai-pegawai dari KHEDN dan NDMC juga telah menghadiri beberapa dialog peringkat tinggi dan sesi tematik.

    Sesi-sesi berkenaan telah memberikan peluang kepada para peserta untuk menimba pengetahuan dan berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan bencana melalui platform yang interaktif.

    Persidangan berkenaan dianjurkan oleh UNDRR setiap dua tahun dan bagi tahun ini, ia mengetengahkan tema From Crisis to Resilience: Transforming the Asia-Pacific Region’s Future Through Disaster Risk Reduction yang memberikan tumpuan kepada tiga tonggak iaitu Investing in Resilience and Prepardness, Shock-Proofed Infrastructure and System dan Resilient Communities.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...