Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan MMN ditangguh

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Belanjawan yang telah dibahaskan dan diluluskan pada tahun ini dan juga pada tahun-tahun yang lalu akan dan telah memberi banyak manfaat kepada semua lapisan rakyat di negara ini dan hasil daripada perbelanjaan kerajaan telah dinikmati khususnya oleh warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

    Demikian telah ditekankan oleh Penasihat Khas KDYMM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim dalam ucapan penangguhannya pada Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), di Dewan Majlis, pada hari ini.

    Antara perbelanjaan kerajaan yang dimaksudkan Yang Berhormat Pehin ialah perkhidmatan dan rawatan kesihatan secara percuma di hospital dan klinik-klinik kerajaan.

    “Ubat-ubatan diberi percuma, malah pihak kerajaan juga membiayai sepenuhnya rawatan-rawatan kesihatan bagi pesakit-pesakit yang mendapat referral untuk rawatan di hospital swasta sama ada di dalam mahupun di luar negara yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi secara purata lebih kurang $150 juta setahun tanpa mengenakan bayaran balik kepada pesakit,” tambahnya.

    Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat perkhidmatan percuma termasuk pemberian lampin pakai buang dan alat bantuan penyusuan ibu yang mula dilaksanakan pada tahun 2017 di mana jumlah purata perbelanjaan kerajaan bagi inisiatif itu dalam tempoh empat tahun sejak pelaksanaannya sehingga tahun 2021 ialah kira-kira $1.5 juta setahun.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa semasa menyampaikan ucapan penangguhannya pada permesyuaratan tersebut. – Gambar oleh Infofoto

    Selain itu, pendidikan percuma iaitu daripada peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah termasuk pendidikan agama, pemberian elaun bagi para penuntut, perkhidmatan pengangkutan yang diberikan untuk penuntut pergi sekolah dan juga biasiswa-biasiswa yang dianugerahkan bagi pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi dalam pelbagai jurusan di dalam dan di luar negara termasuk biasiswa yang dihulurkan atas nama Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) di mana pihak kerajaan memiliki sahamnya sebanyak 50 peratus.

    Yang Berhormat Pehin menambah, “Pemberian elaun-elaun kebajikan seperti pencen umur tua yang mana elaun ini dimulakan pada zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan telah diteruskan dan ditambah kadarnya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, elaun kurang upaya, elaun orang buta, elaun pesakit kusta, elaun bagi pesakit-pesakit mental, dan lain-lainnya.

    “Subsidi minyak kenderaan di mana sebagai contoh dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2016 hingga 2021, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menghulurkan subsidi minyak kenderaan secara purata sebanyak $130 juta setahun,” tambahnya.

    Juga dijelaskan ialah subsidi kerajaan dalam penyedia-an skim perumahan negara di mana jumlah keseluruhan subsidi kerajaan bagi enam buah projek perumahan awam iaitu perumahan-perumahan di Kampung Meragang, Kampung Tanah Jambu, Kampung Bukit Beruang, Kampung Panchor, Kampung Penaga dan Kampung Lugu adalah kira-kira sebanyak $842 juta, tidak termasuk nilai tanah.

    “Subsidi beras di mana sebagai contoh, jumlah subsidi kerajaan bagi beras yang dibeli dari luar negara iaitu Thailand dan Kemboja termasuk perbelanjaan pengurusannya bagi tahun kewangan 2020-2021 ialah sebanyak $11.3 juta.

    “Selain itu, rakyat dan penduduk di negara ini juga diberikan subsidi dalam pembekalan perkhidmatan asas seperti tenaga elektrik dan air bersih dan dikecualikan daripada membayar cukai seperti cukai pendapatan peribadi, cukai hartanah, cukai jualan dan perkhidmatan dan lain-lain sepertimana yang dipraktikkan di negara-negara lain,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda