BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Persidangan Pemerkasaan Belia (YEC) anjuran Progresif dan CuriousMind yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 September depan akan mengetengahkan penceramah-penceramah tempatan dan antarabangsa.
Ucaptama pada persidangan itu akan disampaikan oleh Mark Laitflang Stone dari timur laut India, yang mengasaskan Avenues pada usia 20 tahun. Avenues merupakan kemudahan bagi latihan dan intervensi bimbingan kehidupan paling awal di timur laut India.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Mark merupakan seorang penceramah motivasi, pengusaha dan pembimbing kehidupan yang menggunakan pendekatan holistik ke arah kejayaan.
Beliau juga menjalankan Pockets of Happiness, satu siri pengalaman bimbingan antarabangsa yang di samping Avenues, diasaskan untuk merangsang kekuatan masyarakat dan individu, menangani realiti dan cabaran-cabaran dalam kehidupan.
Dimulakan oleh Progresif dan dianjurkan bersama dengan CuriousMind, YEC dijangka dihadiri oleh 725 orang peserta dari 20 buah sekolah Brunei di samping delegasi seramai 30 orang dari Vietnam, Filipina, Malaysia dan Indonesia.
Persidangan berkenaan disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dan Brunei Tourism dengan tajaan Bank Baiduri (penaja platinum), TOTAL (penaja emas), Brunei LNG (penaja perak) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei selaku rakan penerbangan.
Kenyataan menyatakan, hanya 19 tiket yang tinggal untuk orang ramai dan mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang Progresif.
