Monday, November 18, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persoalan makmum mengikut imam dalam sembahyang yang berbeza

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Seseorang yang mengikut imam dalam sembahyang yang berbeza mungkin pernah berlaku.

    Tidak dinafikan ada di antara makmum yang bersembahyang fardhu sementara imam bersembahyang sunat, begitu juga sebaliknya makmum bersembahyang sunat manakala imam bersembahyang fardhu.

    Setelah mengetahui bahawa sembahyang yang dilakukannya itu tidak menepati dengan sembahyang yang dilakukan imam, dia menyangka bahawa sembahyangnya itu tidak sah, lalu dia pun mengulang sembahyangnya.

    Selain itu, ada juga makmum yang sengaja mengikut imam walaupun dia mengetahui sembahyang yang dilakukannya dengan sembahyang yang dilakukan imam itu berbeza.

    Sebagai contoh, makmum yang lewat datang ke masjid pada bulan Ramadhan untuk melakukan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah.

    Gambar Freepik

    Ketika makmum tersebut sampai ke masjid, dia mendapati imam sedang bersembahyang sunat Tarawih, maka dia terus sahaja mengikut imam tersebut dengan niat sembahyang fardhu ‘Isya’.

    Persoalannya, adakah sah jika makmum mengikut sembahyang imam, sedangkan sembahyang makmum dengan sembahyang imam itu berbeza?

    Hukum makmum mengikut sembahyang imam dalam sembahyang yang berbeza

    Dalam perkara mengikut imam, antara syarat qudwah atau mengikut imam dalam sembahyang berjemaah ialah hendaklah sembahyang imam dan makmum itu mempunyai persamaan dalam tatacara melakukannya.

    Oleh itu, jika sembahyang makmum dan imam berbeza tatacara melakukannya, umpamanya imam menunaikan sembahyang fardhu dan makmum pula menunaikan sembahyang sunat Gerhana Matahari atau imam menunaikan sembahyang fardhu dan makmum pula menunaikan sembahyang Jenazah, maka dalam keadaan sebegini tidak sah makmum mengikut sembahyang imam kerana tatacara sembahyang di antara imam dan makmum adalah berbeza.

    Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj yang ertinya:

    “Dan syarat ke lima daripada syarat-syarat mengikut imam ialah mempunyai persamaan tatacara melakukan antara kedua sembahyang (imam dan makmum) dalam pergerakan yang zahir seperti rukuk dan sujud walaupun tidak sama jumlah rakaat. Jika berbeza tatacara melakukannya iaitu melakukan kedua sembahyang itu seperti sembahyang fardhu lima waktu dengan sembahyang Gerhana, atau sembahyang fardhu lima waktu dengan sembahyang Jenazah, maka tidak sah mengikut imam pada keduanya (imam melakukan sembahyang fardhu sedang makmum melakukan sembahyang Gerhana atau sembahyang Jenazah) menurut pendapat yang sahih, ini kerana terdapat kepayahan dalam mengikut imam disebabkan berbeza tatacara melakukannya”.

    Jika sembahyang imam dan makmum tidak ada perbezaan dari segi tatacara melakukannya, umpamanya imam menunaikan sembahyang Zuhur, makmum pula menunaikan sembahyang Asar, ataupun imam menunaikan sembahyang sunat Tarawih, makmum pula menunaikan sembahyang qadha fardhu Subuh, maka dalam keadaan seperti ini sah makmum mengikut sembahyang imam asalkan tatacara sembahyang imam dan makmum tidak ada perbezaan.

    Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab fiqh antaranya ialah kitab Mughni al-Muhtaj yang ertinya:

    “Sah orang yang melakukan sembahyang tunai mengikut imam yang melakukan sembahyang qadha, dan sah orang yang melakukan sembahyang fardhu mengikut imam yang melakukan sembahyang sunat, dan sah orang yang melakukan sembahyang Zuhur mengikut imam yang melakukan sembahyang Asar, dan begitulah juga sebaliknya iaitu sah orang yang melakukan sembahyang qadha mengikut imam yang melakukan sembahyang tunai, dan sah orang yang melakukan sembahyang sunat mengikut imam yang melakukan sembahyang fardhu, dan sah orang yang melakukan sembahyang Asar mengikut imam yang melakukan sembahyang Zuhur, sebab tatacara sembahyang itu tetap tidak berubah dengan sebab perbezaan niat sembahyangnya”.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda