Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kurikulum pertahanan awam diperkenalkan

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Jumlah pelatih iaitu seramai 539 orang yang telah menamatkan latihan hari ini adalah jumlah yang tertinggi di dalam sejarah perlaksanaan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan ia mencerminkan keberkesanan serta nilai yang tinggi latihan PKBN.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-11 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-11.

    Untuk memastikan latihan PKBN sentiasa relevan, Bahagian Khidmat Bakti Negara telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan beberapa kurikulum baharu yang memberi tumpuan kepada pertahanan awam atau ‘Civil Defense’,” titah Baginda.

    Baginda difahamkan bahawa satu kurikulum iaitu penyelarasan kesiapsiagaan bencana asas yang berjalan selama satu minggu khusus untuk memberikan pengetahuan, kemahiran dan kelayakan bagi para pelatih telah diterapkan dalam latihan PKBN ini.

    Dengan adanya nilai tambah kurikulum itu, Baginda percaya para alumni PKBN kini lebih bersedia untuk menghulurkan khidmat bakti mereka secara sukarela bagi menangani kejadian bencana alam apabila diperlukan.

    Selain itu, nilai-nilai tambah yang berunsurkan kerohanian dan latihan fizikal juga diterapkan dalam latihan ini.

    Mengambil sukut kejayaan latihan-latihan PKBN sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dimaklumkan Bahagian Khidmat Bakti Negara dengan kolaborasi bersama Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah memperkenalkan Program Jati Diri khusus bagi para penuntut IBTE dalam Program iSkills.

    Program selama 90 hari ini adalah julung-julung kali dilaksanakan pada 20 Ogos 2022 dan bertujuan untuk mengukuhkan integriti, disiplin dan daya tahan para penuntut tersebut.

    Beta percaya program jati diri seperti ini boleh dilaratkan kepada pegawai-pegawai muda yang baru berkhidmat di sektor awam dan sektor swasta khusus untuk menerapkan bukan sahaja pengukuhan jati diri, tetapi juga mempertingkatkan kualiti kepimpinan diri,” jelas Baginda Sultan.

    Baginda turut mengambil maklum kem latihan PKBN turut dijadikan sebagai pusat pengasingan komuniti COVID-19 bagi sama-sama menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    Ini mencerminkan kem latihan bukan sahaja digunakan bagi perlaksanaan latihan PKBN, malah juga dimanfaatkan untuk fungsi-fungsi yang lain jika diperlukan.

    Di penghujung titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan tahniah dan syabas atas kesungguhan para pelatih dan sokongan para ibu bapa dan penjaga di sepanjang latihan PKBN selama tiga bulan.

    Ikuti berita lanjut dalam Media Permata keluaran hari Jumaat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...