Monday, September 23, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertahankan budaya Puak Tutong

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Setiap masyarakat mempunyai adat dan budaya mereka yang tersendiri di mana ia merupakan simbolik penting khususnya bagi menjunjung nilai identiti kebudayaan sesebuah puak.

    Apabila berbicara mengenai Puak Tutong, ia juga mempunyai banyak keistimewaan dari segi adat yang telah diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi, namun sehingga ke hari ini, ia semakin pupus dan tidak dipraktikkan lagi. Hanya adat berbasuh kaki yang sering dilihat dan masih dipraktik-kan sehingga kini dalam kalangan etnik ini ketika berlangsungnya majlis perkahwinan.

    Seiring berlalunya waktu, salah satu adat yang kini sukar disaksikan lagi bahkan boleh dikatakan sudah tidak lagi dipraktikkan ialah ketika majlis perkahwinan, pengantin lelaki biasanya akan diarak menggunakan ‘bangkar’ iaitu sejenis alat berbentuk kapal yang seakan-akan terapung dan direka khas di atas kayu buluh.

    Selepas itu, apabila menghampiri rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki akan menaiki ‘usungan’ yang diangkat oleh beberapa orang kaum lelaki yang berbadan tegap atau sasa.

    Inilah salah satu keunikan adat yang sudah tidak diamalkan dalam lingkungan Puak Tutong pada era sekarang. Mungkin sesetengah beralasan disebabkan peralihan zaman yang serba moden dan kemudahan jalan raya yang memudahkan kita sampai menuju ke destinasi dengan lebih cepat.

    Dayang Nur Syahidah @ Syahirah semasa memperagakan pakaian tradisi Puak Tutong ketika melangsungkan majlis berbedak perkahwinannya.

    Sebagai salah satu usaha murni untuk mengimbau adat tradisi orang dulu-dulu khususnya dalam majlis perkahwinan, baru-baru ini, salah seorang beliawanis berasal dari Kampung Petani, Pekan Tutong, Dayang Nur Syahidah @ Syahirah binti Raya telah melakar kenangan manis penuh bermakna ketika melangsungkan majlis berbedak sesi perkahwinannya dengan memperagakan pakaian tradisi Puak Tutong.

    Dengan menggunakan ‘Gegatar’ di kepala serta ‘Sesandang’ di kedua-dua belah bahu beliau, ia menjadi satu tarikan unik yang pastinya sudah jarang dilihat dan digunakan pada zaman sekarang.

    “Saya berbangga memperagakannya lebih-lebih lagi ia sebagai identiti bagi Puak Tutong. Kalau bukan kita selaku generasi pada masa ini, siapa lagi yang akan dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan budaya puak kita sendiri.

    “Ini semestinya akan menjadi memori yang sukar dilupakan lebih-lebih lagi dalam memeriahkan detik-detik hari bahagia ini bersama ahli keluarga dan sanak saudara yang hadir,” ujarnya semasa ditemui penulis.

    Salah seorang jemputan yang hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Penghulu Pekan Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan tidak ketinggalan mengungkapkan perasaan terharu penuh kesyukuran kerana adanya beliawanis yang tampil berani mempertahankan pakaian pengantin Puak Tutong tersebut.

    “Apa yang dapat saya kongsikan, kini belia-belia Puak Tutong kita sudah mula membuka mata mereka dan berusaha menghidupkan kembali adat resam dan budaya mereka seperti memperagakan pakaian pengantin Puak Tutong misalnya di majlis bersejarah mereka dan tidak kurang hebatnya juga ketika berlangsungnya majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk sempena ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Walaupun tidak begitu drastik namun daripada kelompok yang sedikit, dengan izin Allah SWT jua, saya yakin lama-kelamaan budaya itu pasti akan berkembang dan tidak mustahil boleh menjadi trend terutama pakaian utama yang akan dihidupkan semula semasa acara-acara khas dan pada majlis persandingan,” ujarnya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda