Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI- Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi bermula malam ini bagi hari pertama bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di ICC dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi musabaqah tersebut bagi tahun ini.
Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan pengendali-pengendali bersama serta jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang lain.
Pada maljlis musabaqah tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian musabaqah berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.
Acara diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama di mana Yang Berhormat Pehin menyembahkan bahawa sebagaimana lazimnya setiap tahun musabaqah peringkat akhir kebangsaan dengan pesertanya seramai 12 orang terdiri daripada enam qari dan enam qariah ini adalah diawali dengan musabaqah-musabaqah peringkat saringan dan peringkat separuh akhir kebangsaan. Di antara peserta peringkat akhir ini ada seramai dua orang yang merupakan peserta baharu.
Sesungguhnya setiap perserta dalam kedua-dua peringkat itu telah mempersiapkan diri untuk mempersembahkan bacaan yang bukan sahaja baik bahkan bermutu bagi bersaing dalam musabaqah-musabaqah peringkat kebangsaan di dalam dan di luar negara.
“Alhamdulillah dengan kesungguhan mereka menyertai program-program latihan tilawah yang disediakan, negara kita dapat menghandalkan beberapa orang qari dan qariah untuk bersaing mempersembahkan bacaan yang baik dan bermutu dalam musabaqah-musabaqah tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa. Di antaranya ada yang berjaya ke tahap pemenang-pemenang,” tambah Yang Berhormat Pehin.
Dengan itu musabaqah tilawah Al-Quran setiap tahun adalah merupakan proses pembelajaran yang berterusan untuk mentilawahkan ayat-ayat Al-Quran dengan tilawah yang bermutu tinggi.
Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Quran daripada tiga peserta terdiri daripada Haji Muhammad Fikri bin Haji Metussin, Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dan Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri.
Majlis diteruskan dengan persembahan nasyid Al-Quran Syafa’ah iaitu lagu tema musabaqah oleh mahasiswa-mahasiswa Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Musabaqah disambung dengan bacaan Al-Quran daripada tiga lagi peserta iaitu Dr Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman, Awang Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dan Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja kemudiannya berangkat meninggalkan majlis setelah para peserta selesai memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama musabaqah tersebut.
Musabaqah pada tahun ini yang bertemakan Al-Quran Pedomanku akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada hari kedua esok.
Sementara itu, majlis pengumuman keputusan bagi menentukan johan qari dan qariah musabaqah berkenaan akan diumumkan pada 23 Mei di Dewan Plenari, ICC, Berakas.