Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertanian moden berpotensi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Kerana minat untuk mengkaji pertanian moden berbentuk akuaponik sejak 2011 telah mendorong Awang Syazwan bin Haji Suni untuk menubuhkan perusahaan pertanian bersama bapanya, Haji Suni bin Haji Sulaiman.

    Beliau berganding bahu bersama bapanya menubuhkan S&R Aquafarm pada 2016 dan mengembangkan perniagaannya dengan membekalkan hasil akuaponik kepada kafe dan hotel di Daerah Brunei dan Muara dan Belait.

    Permulaan niaga itu diceritakan sendiri oleh alumni Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu pada Siri Bicara Alumni UBD ke-4 anjuran universiti tersebut, baru-baru ini.

    Siri bicara anjuran Pejabat Perhubungan dan Kemajuan Alumni (OARA) itu mengetengahkan tajuk Aquaponic, Closer to Home.

    Awang Syazwan merupakan bekas mahasiswa UBD yang kini bekerja di BIACC Sdn Bhd, menjelaskan akuaponik adalah gabungan kedua-dua sistem akuakultur dan hidroponik, di mana nutrien daripada ikan digunakan sebagai baja organik untuk tumbuh-tumbuhan.

    Syarikatnya turut menerima anugerah Shell Livewire Brunei Business pada 2019 sebagai Usahawan Paling Inovatif dan mendapat tempat ketiga dalam Perniagaan Mampan.

    Sesi Bicara Alumni itu dihadiri oleh para pegawai, alumni dan mahasiswa UBD serta perwakilan institusi dan sekolah tempatan. Ia diakhiri dengan aktiviti interaktif dan sesi soal jawab.

    Awang Syazwan semasa menceritakan kisahnya pada Siri Bicara Alumni UBD ke-4. – Gambar UBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda