Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Pertubuhan WARGAMAS(PW) sebagai sebuah organisasi terus berkembang sejak ia mula ditubuhkan sebagai institusi atau platform besar, penuh akrab, ‘berdansanak’ dan bersahabat.
“PW ini merupakan sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menjadi contoh kepada anak-anak muda di negara ini kerana dalam organisasi ini, pemimpin dan ahlinya terdiri daripada kalangan mereka yang berusia dan matang pemikiran, baik perilaku dan berjiwa penyayang”.
Perkara tersebut telah dikongsikan Oleh Yang DiPertua Pertubuhan WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don pada Majlis Ramah Mesra Hujung Tahun 2024 bersama Penasihat dan YDP PW serta Hari Kempen Bertindak sempena Sambutan Hari Kesukarelawan Antarabangsa dengan tema Bersatu Bertindak Menuju 2025′ yang berlangsung di Rasa Ceria Cafe, Beribi Telanai pagi tadi.
Beliau turut mengongsikan pencapaian dan perkembangan PW sejak ianya ditubuhkan dan sehingga ke hari ini, PW mempunyai seramai 1,150 orang ahli.
Sebagai sebuah badan NGO, jelasnya, PW penuh optimis bahawa proses berusaha tidak boleh berhenti selagi diamanahkan seperti proses belajar yang tiada masa berhenti.
Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu rasmi WARGAMAS Berjaya oleh ahli-ahli PW.
Turut hadir di majlis itu adalah ahli Jemaah Penasihat PW yang terdiri dari Dato Paduka Dr Haji Ismail bin Haji Duraman, Dato Seri Setia Haji Metussin bin Baki, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin serta ahli-ahli PW yang lain.