Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pertumbuhan ekonomi ASEAN+3 diramal kukuh

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Pembukaan semula China pada Disember lalu akan memberikan rangsangan ekonomi yang tepat pada masanya kepada rantau ASEAN+3, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), di sini, hari ini.

    Dalam kemas kini Januari 2023 bagi Prospek Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) 2022, AMRO mengunjurkan pertumbuhan ASEAN+3 bagi 2022 mencecah 3.3 peratus iaitu menurun daripada 3.7 peratus yang diunjurkan pada Oktober 2022 lalu.

    AMRO menyatakan bahawa ia adalah disebabkan kelemahan berterusan dalam ekonomi Plus-3 terutamanya China di mana pertumbuhan adalah lebih lemah daripada yang dijangkakan.

    Pertumbuhan di rantau ASEAN yang disokong oleh permintaan domestik yang kuat, telah dikemaskinikan dan meningkat kepada 5.6 peratus.

    Pada 2023, pertumbuhan di rantau ASEAN+3 dijangka kukuh pada 4.3 peratus dengan ekonomi China dijangka mencatat pemulihan kukuh yang mencerminkan pembukaan semula ekonomi dan penarikan semula langkah-langkah pembendungan.

    Gambar AFP menunjukkan pelanggan melihat barangan kemas jed di sebuah kedai di Ruili, wilayah barat Yunnan pada 13 Januari 2023. Menurut AMRO, pembukaan semula China pada Disember lalu akan memberikan rangsangan ekonomi yang tepat pada masanya kepada rantau ASEAN+3.

    Inflasi dijangka akan menurun kepada 4.5 peratus pada 2023 daripada unjuran 6.3 peratus pada 2022, menurut AMRO lagi.

    Pada masa yang sama, persekitaran global yang lemah juga telah menyebabkan momentum perdagangan luar rantau lembap dengan aktiviti ekonomi terkesan oleh dasar monetari agresif yang ketat di rantau Eropah dan Amerika Syarikat (AS) di mana ia akan lebih terasa pada 2023 serta membawa kepada tempahan eksport yang lebih perlahan bagi ASEAN+3.

    Namun begitu, kegiatan pelancongan berterusan yang kembali pulih khususnya dengan kehadiran semula pelancong-pelancong China akan menyediakan rangsangan yang amat diperlukan bagi pertumbuhan.

    Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor dipetik menyatakan, dengan risiko kemelesetan ekonomi masih menghantui Eropah dan AS, pembukaan semula China hadir tepat pada masanya untuk merangsang ekonomi rantau ini.

    Beliau menerangkan bahawa ekonomi China yang lebih kukuh akan menyediakan sokongan bagi aktiviti serantau manakala pembukaan semula sempadan akan merangsang pelancongan antara rantau.

    Di samping itu, inflasi juga menjadi sederhana di serata ASEAN+3 yang dipengaruhi oleh pengetatan dasar mampan oleh bank-bank pusat dan kurangnya kesesakan rantaian bekalan global.

    Selain itu, harga minyak juga beransur kembali ke tahap hampir prapandemik yang mencerminkan permintaan global yang lebih lemah.

    Manakala harga-harga komoditi utama pertanian, walaupun tinggi disebabkan oleh konflik berpanjangan Ukraine, juga menurun daripada tahap kemuncaknya pada 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...