Thursday, February 13, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan ekonomi diunjur positif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Momentum kadar pemulihan Negara Brunei Darussalam diunjurkan terus meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa.

    “Namun, penularan semula pandemik COVID masih menjadi satu risiko, berserta risiko global lain, yang besar kemungkinan akan menjejaskan situasi ekonomi negara
    ini.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2023) Perbekalan 2023/2024 pada hari ketiga permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa mengikut laporan suku ketiga (Q3) 2022 Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan pertumbuhan yang positif sebanyak 0.9 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan negatif pada suku pertama (Q1) dan kedua (Q2) 2022.

    “Pertumbuhan Q3 2022 ini adalah berikutan peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas sebanyak 4.6 peratus yang didorong oleh peningkatan dalam beberapa subsektor seperti hiliran, kewangan, pengangkutan udara, perdagangan borong dan runcit serta perikanan.”

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2023) Perbekalan 2023/2024 pada hari ketiga permesyuaratan MMN, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Walau bagaimanapun, tambah beliau, sektor minyak dan gas pula mencatatkan penurunan pada kadar 2.7 peratus, disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak mentah dan pengeluaran gas asli.

    Penurunan itu, jelasnya, antaranya disebabkan oleh penutupan berjadual dan tidak berjadual bagi aktiviti-aktiviti penyelenggaraan serta pemulihan pelantar minyak luar pantai.

    Manakala itu, Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS), melalui laporan Brunei Economic Outlook 2023 telah pun mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 2.6 peratus bagi 2023.

    “Unjuran ini adalah didorong oleh pertumbuhan dalam sektor minyak dan gas pada
    kadar 2 peratus berikutan pengeluaran yang dijangka meningkat setelah aktiviti-aktiviti penyelenggaraan selesai dilaksanakan.

    “Manakala, aktiviti yang lain dalam sektor bukan minyak dan gas juga dijangka mencatatkan pertumbuhan yang positif pada kadar 2.8 peratus mengambil kira kebanyakan aktiviti-aktiviti ekonomi berkenaan dijangka akan beransur pulih berikutan pembukaan semula sempadan serta pengurangan langkah-langkah pengawalan yang berkaitan dengan pandemik COVID.”

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan, CSPS turut mengunjurkan inflasi negara akan menurun kepada kadar 2.5 peratus bagi 2023, setelah mencatatkan kadar 3.7 peratus pada 2022 iaitu kadar inflasi yang tertinggi sejak 1995.

    “Ini adalah disebabkan permintaan global yang lemah dan rantaian bekalan yang beransur pulih,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    Di samping itu, pihak IMF, ASEAN Plus 3 Macroeconomic Research Office (AMRO) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang positif bagi Negara Brunei Darussalam pada 2023 iaitu masing-masing pada kadar 3.3 peratus, 3 peratus, dan 3.6 peratus.

    Unjuran itu adalah mengambil kira usaha-usaha pemulihan dan mempelbagaikan ekonomi yang dilaksanakan, khususnya pengeluaran produk industri hiliran minyak dan gas serta aktiviti-aktiviti berkaitan dengan Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd, Syarikat Methanol Brunei (BMC) dan Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI).

    Namun demikian, Yang Berhormat Dato menjelaskan, unjuran-unjuran berkenaan
    juga tertakluk kepada beberapa faktor luaran dan dalaman di mana antaranya adalah penularan varian-varian COVID baharu, tekanan geopolitik berterusan yang akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan, kadar inflasi yang tinggi, risiko kemelesetan ekonomi dunia, ketidakpastian pasaran minyak dan gas dunia serta tahap pengeluaran minyak dan gas negara.

    Beliau menambah langkah-langkah telah dan sedang diambil oleh kerajaan dengan sokongan padu daripada pihak swasta dan seluruh rakyat dan penduduk melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, telah dapat mengawal dan mengurangkan kesan atau impak daripada ketidaktentuan ekonomi global demi memastikan ekonomi negara dapat membangun dan terus kukuh dan stabil.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda