Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan KDNK Britain meningkat Oktober

    LONDON, 12 DIS – Ekonomi Britain berkembang 0.5 peratus pada Oktober, menurut data rasmi yang keluar hari ini, selepas mencatat kemerosotan mendadak pada bulan sebelumnya sebahagiannya disebabkan cuti kebangsaan untuk majlis pengebumian Ratu Elizabeth.

    Keluaran dalam negara kasar (KDNK) merosot 0.6 peratus pada September selepas perniagaan ditutup untuk majlis pengebumian diraja, dan ekonomi Britain menyusut sebanyak 0.2 peratus dalam suku ketiga, menurut Pejabat Statistik Negara (ONS).

    Darren Morgan, pengarah statistik ekonomi ONS, berkata ekonomi dibantu terutamanya oleh jualan kereta yang ‘pulih selepas data lemah pada September, sementara sektor kesihatan juga mencatat bulan yang kukuh.’

    ONS berkata dalam kenyataannya hari ini bahawa dalam tempoh tiga bulan hingga Oktober, ekonomi menguncup sebanyak 0.3 pertaus.

    Menteri Kewangan Britain, Jeremy Hunt berkata dalam satu kenyataan bahawa meskipun angka menunjukkan pertumbuhan, ‘timbulnya cabaran pada masa depan.’

    ”Inflasi tinggi, diburukkan oleh perang yang dilancarkan Presiden Vladimir Putin, telah menjejas pertumbuhan di seluruh dunia, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa meramalkan satu pertiga daripada ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan pada tahun ini atau depan,” katanya.

    Inflasi Britain mencecah 11 peratus, tahap tertinggi dalam lebih 40 tahun.

    Sementara itu, Bank England mengunjurkan ekonomi UK akan mengecut dalam suku akhir 2022, bermakna ekonomi sedang mengalami kemelesetan sekarang. – AFP

    Seorang lelaki berjalan di depan Bank England, di daerah kewangan di London. Ekonomi Britain menguncup dalam tiga bulan hingga Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda