Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Perubahan iklim tarik jerung putih ke utara, ancam ekosistem

    SANTA CRUZ – Dahulu, tidak pernah ada kelibat jerung putih besar kelihatan di pantai-pantai yang sibuk di tengah California, tetapi dengan pemanasan iklim yang mula dirasai, air yang lebih panas menarik pemangsa itu ke utara yang mungkin boleh mencetuskan kerosakan pada seluruh ekosistem.

    Walaupun reputasi haiwan itu menakutkan, sebahagiannya disebabkan oleh francais filem Jaws, risiko utama daripada pemangsa ini bukanlah kepada perenang dan peluncur ataupun ketua polis tempatan tetapi kepada memerang laut.

    “Apa yang kami dapati adalah seiring berjalannya waktu, jumlah gigitan pada memerang laut telah meningkat dengan ketara di rantau ini,” kata ahli ekologi marin, Salvador Jorgensen dari California State University Monterey Bay.

    “Itu mempunyai kesan yang sebenar kepada populasi memerang laut,” tambahnya.

    Dan sebagai ilustrasi tentang sejauh mana ekosistem yang saling berkaitan, ini boleh membawa kesan yang jauh ke atas pelbagai jenis spesies dalam kawasan yang kaya dengan hidupan liar ini.

    Salvador Jorgensen dan Dylan Moran memerhati seekor jerung di pantai di tengah California. – Gambar AFP
    Salvador Jorgensen (kiri) dan Dylan Moran, menggunakan dron untuk mencari jerung putih berhampiran Santa Cruz, California. – Gambar AFP
    Memerang laut bukanlah makanan bagi jerung putih, tetapi anak jerung sering menganggap memerang laut itu sebagai mangsa. – Gambar AFP
    Gambar AFP

    Air Suam

    Jerung putih yang besar adalah antara yang paling megah, yang paling banyak dikaji dan paling ditakuti oleh penghuni laut.

    Jerung itu berkembang sehingga kira-kira 16 kaki, ia mengembara di lautan dunia yang berkedalaman ribuan kaki untuk memenuhi selera makan terhadap anjing laut, singa laut dan ikan lumba-lumba.

    Ia hidup selama lebih dari 70 tahun dan melahirkan seperanak anak jerung yang dibiarkan untuk hidup mandiri.

    Oleh kerana jerung putih adalah jenis endoterma, berbadan panas, seperti mamalia, anak-anak jerung mudah terdedah kepada suhu sejuk di dasar lautan dan sering menghabiskan masanya di kawasan air yang lebih panas dekat pesisir pantai.

    Sehingga sedekad yang lalu atau beberapa dekad, barulah anak-anak jerung itu ditemui di jauh utara seperti di California selatan.

    Tetapi, kata Jorgensen, itu telah berubah.

    “Kami mendokumentasikan kemunculan tiba-tiba jerung yang jauh lebih kecil daripada yang pernah dilihat di sini sebelum ini,” katanya kepada AFP di Monterey Bay, ratusan batu ke utara, di mana dia menunjukkan pengesan akustik kepada individu yang membolehkannya menjejaki perjalanannya.

    “Apabila suhu lautan yang semakin meningkat melalui beberapa siri El Nino dan gelombang panas, banyak spesies telah mengubah jangkauannya lebih ke utara, lebih jauh ke arah kawasan yang dahulunya lebih sejuk.”

    Itulah yang membawanya berhubung dengan memerang laut, yang berkeliaran di sekitar hutan rumpai laut yang kaya di luar pantai.

    Landak Laut

    “Jerung yang lebih kecil mula memilih untuk memakan ikan dan sotong sehingga pada tahap di mana jerung itu akan mula memakan mamalia marin,” kata Jorgensen.

    “Bagi jerung yang tidak berpengalaman, memerang laut mungkin kelihatan sebagai sasaran yang betul, tetapi ternyata memerang laut tidak mempunyai lapisan lemak yang kaya, jadi apabila memerang laut itu digigit, memerang laut itu sebenarnya tidak dimakan.

    “Tetapi selalunya interaksi tersebut berakhir dengan kematian bagi memerang laut,” tambahnya.

    Selain daripada menjadi berita buruk bagi individu, ia merupakan berita yang mengerikan bagi populasi memerang laut yang memicu kesan rantaian.

    Memerang laut mencari landak laut, spesies yang jika dibiarkan tanpa sekatan akan meragut hutan rumpai laut menjadi padang pasir yang tandus, membunuh habitat laut yang penting yang menyediakan makanan dan perlindungan untuk pelbagai invertebrata, ikan, mamalia dan burung.

    Bagi Eric Mailander, seorang saintis amatur dan skipper bot yang membantu Jorgensen melekatkan penanda kepada jerung putih besar, kehadiran anak jerung di Teluk Monterey memberikan peluang untuk melihat makhluk yang benar-benar mengagumkan dengan dekat.

    “Keterujaan sentiasa ada,” katanya.

    “Ia seperti kali pertama saya melihat jerung, ia tidak pernah hilang. Jika saya keluar dan melihat jerung, saya teruja,” tambahnya.

    Walaupun kehadiran makhluk besar yang sangat ketara itu begitu dekat dengan pantai boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan manusia, Mailander berkata orang ramai tidak perlu risau walaupun pemangsa itu mempunyai reputasi.

    “Jerung menakutkan saya sepenuhnya. Tetapi saya ingin orang ramai tahu bahawa mereka tidak perlu takut kepada haiwan pemangsa itu. Hanya pergi melihatnya,” kata Jorgensen.

    Bagi Jorgensen ia adalah suatu gambaran yang jelas tentang betapa pantasnya manusia mengubah planet, dengan pembakaran bahan api fosil yang tidak terkawal.

    “Saya sentiasa berfikir bahawa ini adalah cara yang sangat nyata bagi orang ramai untuk memahami perubahan iklim,” kata Jorgensen. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...