Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN-11) bagi Tahun Kewangan 2023/2024 berjumlah $500 juta bagi Perbelanjaan Kemajuan untuk membiayai projek-projek di bawah RKN-11, telah diluluskan sebulat suara padahari ke-17 permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Peruntukan yang diluluskan itu, melibatkan 211 projek termasuk 28 buah projek baharu yang telah diluluskan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam pembentangan peruntukan wang kemajuan Tahun Kewangan 2023/2024.
Projek-projek baharu yang telah diluluskan antara lainnya, jelas beliau lanjut, merupakan projek-projek yang mempunyai impak tinggi dalam meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), termasuk yang menyumbang kepada transformasi digital ke arah meningkatkan daya inovasi dan tahap produktiviti negara serta boleh meningkatkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Projek-projek di bawah sektor utama seperti sektor agrimakanan dan sektor pembangunan juga telah dikenal pasti bagi menjana lebih banyak aktiviti perekonomian dan spin-off.
Terdahulu dalam pembentangan itu, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa Jawatankuasa Tertinggi RKN yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah meluluskan bagi pelanjutan tempoh RKN-11 selama satu tahun lagi, iaitu sehingga penghujung Tahun Kewangan 2023/2024.
“Pelanjutan ini adalah mengambil kira keupayaan kementerian-kementerian untuk menyelesaikan projek-projek RKN ke-11 yang masih dalam pelaksanaan, serta memberikan peluang kepada kementerian-kementerian untuk meneliti semula projek-projek baharu yang dipohonkan di bawah RKN ke-12 nanti, agar mempunyai impak yang positif kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035,” tambahnya.
Selain itu, Yang Berhormat Dato berkata keupayaan kementerian-kementerian dalam melaksanakan projek-projek adalah bergantung kepada beberapa faktor, antaranya kerja-
kerja awal termasuk penentuan keperluan reka bentuk, penyesuaian tapak, penyediaan dokumen-dokumen projek serta penyelarasan projek-projek yang boleh diguna sama.
Seterusnya, beliau memberikan penerangan ringkas mengenai peruntukan sebanyak $500 juta berkenaan (rujuk infografik).
Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa daripada 211 buah projek RKN-11, sebanyak 45 buah projek telah siap dilaksanakan secara fizikal namun peruntukan masih diperlukan untuk membiayai bayaran-bayaran bagi konsultan, tuntutan terakhir dan retention money dan sebagainya, sebanyak 75 buah projek sedang dalam pelaksanaan serta 91 buah projek masih dalam pelbagai peringkat seperti perancangan, tawaran dan reka bentuk.
Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa sebanyak 11 buah projek dalam RKN-11 telah dibatalkan dengan mengambil kira bahawa tujuh buah projek akan dilaksanakan melalui pembiayaan alternatif dan empat buah projek tidak diperlukan lagi.
Beliau seterusnya menerangkan bahawa jumlah peruntukan RKN yang telah disediakan adalah berasaskan kepada perkembangan pelaksanaan projek (S-Curve) projek-projek yang telah diluluskan yang boleh menyebabkan jumlah peruntukan menjadi tinggi atau rendah berbanding tahun-tahun kewangan sebelumnya, ataupun berbanding pada
RKN-RKN sebelumnya.
“Peruntukan berdasarkan kepada S-Curve ini adalah penting bagi memastikan peruntukan yang disediakan dapat digunakan secara optimum.”
Yang Berhormat Dato berkata bahawa Bahagian RKN di Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan meneruskan perbincangan dengan kementerian-kementerian melalui Jawatankuasa Kerja RKN bagi memastikan perlaksanaan projek adalah mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Beliau menekankan bahawa perkembangan projek-projek RKN bukan sahaja akan dipantau melalui Jawatankuasa Kerja RKN, malah melalui Mesyuarat Suku Tahun Belanjawan
Negara dan Mesyuarat Pemantauan Bulanan serta lawatan ke tapak-tapak projek bersama dengan pegawai penyelaras projek RKN di setiap kementerian.