Sejak beberapa hari lalu, media sosial kecoh dengan berita mengenai isteri kepada penyanyi popular, Justin Bieber iaitu Hailey Baldwin yang dikatakan sedang hamil gara-gara beberapa keping gambar yang kelihatan seakan-akan ‘baby bump’.
Malah, Hailey juga dilihat seperti agak berisi berbanding penampilannya sebelum ini menyebabkan warganet membuat spekulasi bahawa dirinya sedang hamil.
Enggan berdiam diri, Hailey yang juga merupakan seorang model tampil memberitahu bahawa dirinya tidak hamil sebaliknya perutnya itu buncit disebabkan makanan.
“Ketika ini saya rasa Internet sangat kelakar. Tidak, saya tak hamil… saya cuma terlalu sukakan makanan,” tulisnya.
Hailey memaklumkan mengenai perkara itu menerusi Insta story yang dimuat naiknya di laman Instagram baru-baru ini. Dalam pada itu, ibu kepada Justin Bieber iaitu Pattie Mallette dilihat turut memberikan respons terhadap kenyataan yang dimuat naik Hailey. – Agensi
