BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping berikutan dengan meninggalnya mantan Presiden Republik Rakyat China, TYT Jiang Zemin.
Dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Baginda menyatakan mantan Presiden Jiang Zemin adalah rakan akrab dan Baginda mempunyai banyak kenangan manis semasa lawatan negara presiden ke Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC pada tahun 2000 dan perbincangan yang telah diadakan pada mesyuarat di Shanghai pada tahun 2001.
Baginda menghargai usaha yang diberikan dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan persefahaman yang dikongsi sama di peringkat serantau dan pelbagai hala. Mantan presiden akan terus dikenang sebagai seorang negarawan oleh rakyat China yang telah mendedikasikan dirinya dalam meningkatkan kesejahteraan menyeluruh kepada penduduk dan memimpin negara China menuju kestabilan ekonomi dan kesejahteraan.
Pada mengakhiri perutusan berkenan, kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam merakamkan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat China terutama kepada keluarga mendiang mantan presiden.
