Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat Boeing 737-9 Max digantung

    JAKARTA, 9 JAN – Indonesia telah menggantungkan sementara tiga pesawat Boeing 737-9 Max, berikutan insiden minggu lalu di mana tayar sebuah pesawat Alaska Airlines meletup dan menyebabkan lubang besar di bahagian tepi badan pesawat.

    Ketiga-tiga pesawat itu, yang digantungkan sejak Sabtu, adalah milik syarikat penerbangan tambang murah, Indonesia Lion Air. Keputusan itu dibuat oleh Kementerian Pengangkutan negara itu dengan kerjasama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan.

    Pendaratan cemas pada Jumaat lalu oleh pesawat jet Alaska Airlines mendorong pihak berkuasa persekutuan AS (FAA) untuk menghentikan beberapa pesawat Boeing 737 Max 9. FAA menghentikan semua Max 9 yang dikendalikan oleh Alaska dan United serta beberapa pesawat yang diterbangkan oleh syarikat penerbangan asing untuk pemeriksaan.

    Pemeriksaan tertumpu pada palam yang digunakan untuk menutup bahagian yang dikhaskan untuk pintu kecemasan tambahan yang tidak diperlukan pada United dan Alaska Max 9s.

    Pesawat Lion Air yang kini digantungkan menggunakan pintu keluar kecemasan pertengahan kabin yang berbeza daripada pintu keluar pesawat Alaska Airlines yang terlibat dalam insiden itu, kata Adita Irawati, jurucakap Kementerian Pengangkutan.

    Danang Mandala Prihantoro, jurucakap Lion Air berkata syarikat penerbangan itu ‘telah mengambil langkah pencegahan’ dengan menggantungkan pesawat dan ‘menjalankan pemeriksaan lanjut di pintu keluar kecemasan pertengahan kabin.’

    Pada 2019, Indonesia menggantungkan sementara jet Boeing 737 Max 8 untuk memeriksa kelayakan udara pesawat tersebut selepas pesawat Lion Air model itu terhempas pada Oktober 2018, mengorbankan kesemua 189 orang penumpangnya. – AP

    Beberapa buah pesawat Lion Air berada di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya, Jawa Timur. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda