Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat kargo DHL terhempas di kawasan perumahan

    VILNIUS, 27 NOV – Sebuah pesawat kargo DHL terhempas ketika menghampiri lapangan terbang di ibu negara Lithuania awal pagi tadi, sebelum sebelum tergelincir ke sebuah rumah berhampiran, mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang anak kapal maut, kata pihak berkuasa, manakala punca nahas masih dalam siasatan.

    Ketua Perkhidmatan Bomba Lithuania, Renatas Pozela, memaklumkan bahawa pesawat itu tergelincir sejauh beberapa ratus meter, dengan gambar di lokasi menunjukkan asap tebal naik dari sebuah struktur yang rosak di kawasan berpokok jarang.

    Rakaman video pengawasan dari syarikat berhampiran menunjukkan pesawat sedang menghampiri landasan dengan normal sebelum meletup menjadi bola api besar di belakang sebuah bangunan. Namun, detik sebenar impak tidak dapat dirakam.

    Pasukan penyelamat menutup kawasan nahas, dengan serpihan pesawat berwarna kuning – warna ciri syarikat DHL – bertaburan di lokasi kejadian.

    “Infrastruktur kediaman di sekitar rumah tersebut terbakar, dan rumah itu mengalami kerosakan kecil, tetapi kami berjaya memindahkan semua penghuni,” kata Pozela.

    Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Svaja berkata, dia berlari ke tingkap apabila biliknya dipenuhi cahaya terang seperti matahari merah, sebelum mendengar letupan besar disusuli percikan api dan asap hitam.

    “Saya melihat bola api,” katanya. “Fikiran pertama saya ialah perang dunia telah bermula, dan saya perlu mengambil dokumen serta mencari perlindungan di tempat selamat,” tambahnya.

    Menurut penyiar awam Lithuania, LRT, yang memetik seorang pegawai kecemasan, dua orang dibawa ke hospital selepas nahas, dan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia.

    Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai anak kapal penerbangan, tetapi bukan juruterbang, kata pihak berkuasa. Anggota bomba berjaya mengeluarkan dua juruterbang dari kokpit, dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius, menurut Pesuruhjaya Polis Lithuania, Arunas Paulauskas. – AP

    Kakitangan Kementerian Kecemasan Lithuania menjalankan tugas di lokasi nahas sebuah pesawat kargo milik DHL terhempas ke sebuah rumah dekat Vilnius, Lithuania, pada 25 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda