Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pesawat nahas di gunung berapi Filipina

    MANILA, 19 FEB – Para penyelamat hari ini bergelut untuk sampai ke cerun gunung berapi aktif di tengah Filipina di mana sebuah pesawat kecil dipercayai terhempas, kata pegawai, dengan nasib mereka yang berada di dalamnya masih belum dapat dipastikan.

    Pesawat Cessna 340 dengan empat orang di dalamnya hilang sejurus selepas berlepas menuju Manila dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol di wilayah Albay, beberapa kilometer dari gunung berapi Mayon, kelmarin.

    Perbadanan Pembangunan Tenaga yang berpangkalan di Manila berkata, pesawat yang hilang itu milik syarikat tersebut dan ia sedang berusaha untuk mengesahkan sama ada serpihan yang dikesan hari ini di “permukaan yang sangat curam dan altitud tinggi kira-kira 6,000 kaki” adalah milik mereka.

    Dua daripada empat penumpang di dalam pesawat yang hilang itu adalah warga Australia, kata polis Bicol, sambil menambah bahawa pasukan-pasukan penyelamat dengan anjing pengesan telah dikerahkan untuk mencari lokasi nahas.

    “Masalahnya ialah cuaca buruk dan ia menghalang keterlihatan pencarian di darat,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, Eric Apolonio kepada AFP.

    Pegawai bencana Albay, Cedric Daep berkata, sebuah pesawat Cessna telah dilihat 300 hingga 350 meter dari kawah. Tetapi beliau memberi amaran bahawa gunung berapi yang bergemuruh itu boleh meletus pada bila-bila masa, yang merumitkan usaha menyelamat.

    “Mungkin ada letupan abu secara tiba-tiba dan kami boleh ditambah kepada mangsa yang terkorban,” kata Daep kepada radio tempatan DZBB.

    Pencarian dari udara akan diteruskan esok untuk mengesan orang yang hilang.

    “Kami tidak menolak kemungkinan mereka masih hidup,” kata Daep. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...