Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat perubatan bawa enam penumpang terhempas

    PHILADELPHIA, 2 FEB – Sebuah pesawat perubatan yang membawa enam warga Mexico terhempas di kawasan kejiranan Philadelphia Jumaat lalu, kata pihak berkuasa, menandakan satu lagi bencana penerbangan Amerika Syarikat (AS) selepas sebuah pesawat penumpang dan helikopter tentera bertembung di udara di Washington awal minggu ini.

    Siaran video menunjukkan pesawat enjin berkembar itu menjunam ke arah kawasan perumahan, mengakibatkan berlakunya kebakaran yang menjejaskan beberapa buah rumah dan kenderaan.

    Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata ia adalah pesawat Learjet 55 – jet perniagaan Amerika-Perancis – yang berlepas tidak lama sebelum itu dari Lapangan Terbang Philadelphia Timur Laut menuju ke Branson, Missouri. Nahas berlaku sejurus selepas 6 petang.

    Seorang gadis muda yang berada di Amerika Syarikat untuk rawatan perubatan, ibunya, dan anggota penerbangan dan kru perubatan yang menemaninya di atas kapal terbunuh dalam nahas itu, kata hospital kanak-kanak yang merawatnya kepada AFP.

    “Pesakit telah menerima rawatan daripada Shriners Children di Philadelphia dan sedang dibawa pulang ke negara asalnya di Mexico dengan ambulans udara kontrak semasa nahas itu berlaku,” kata jurucakap Shriners Children, Mel Bower.

    Keenam-enam penumpang itu adalah warga Mexico, kata kementerian luar negara itu dalam satu kenyataan.

    “Syarikat penerbangan… mengesahkan kepada konsulat bahawa enam orang warganegara Mexico telah menaiki pesawat itu,” tulis kementerian itu di X. – AFP

    Anggota perkhidmatan kecemasan bertindak balas terhadap nahas pesawat di kawasan kejiranan berhampiran Cottman Avenue pada 31 Januari di Philadelphia. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda