Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan MOFE
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Sebanyak 47 unit alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi tujuan perdagangan telah diperiksa di mana kesemua alat berkenaan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), hari ini, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui SDT dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah MOFE telah mengadakan operasi bersepadu yang dilaksanakan ke atas premis-premis perniagaan di Kampung Serusop, Daerah Brunei dan Muara pada 15 April lalu.
Pemeriksaan itu menumpukan kepada premis perniagaan peserta-peserta Jualan Mega Brunei (JMB).
Para pembeli dinasihatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isi padu, ukur panjang dan lebar, di mana alat-alat berkenaan mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT.
JPES mengingatkan para peniaga untuk sentiasa menjalankan aktiviti perniagaan dan jualan murah secara beretika dengan mematuhi peraturan Akta Kawalan Harga Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Bagi peserta JMB 2023, JPES mengingatkan para peniaga untuk memastikan maklumat senarai harga dan potongan harga sentiasa tersedia di premis perniagaan masing-masing semasa pemeriksaan dijalankan selaras dengan Peraturan 11(a) dan (b) di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah) 2012.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan.