Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Buku Brunei 2022 dilancar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Orang ramai kini berpeluang mengunjungi Pesta Buku Brunei (PBB) 2022 di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah bermula hari ini hingga 31 Julai.

    Semasa temu bual media dengan Pegawai Bahasa, Dayang Nor Rafidah binti Haji Mokhtar selaku setiausaha bersama PBB 2022, antara lain mengongsikan pesta buku ini menawarkan buku-buku menarik untuk pelbagai golongan umur.

    Pengisian terbaharu PBB tahun ini menampilkan taman tema yang memaparkan ilustrasi cerita-cerita rakyat. Beliau menjelaskan bahawa taman tema ini diserap dan diadaptasi daripada buku-buku cerita rakyat dan kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    “Platform taman tema ini digunakan oleh para penggiat sepanjang PBB seperti aktiviti mari bercerita supaya suasana penceritaan menjadi lebih menarik dengan berlatarbelakangkan ilustrasi cerita rakyat,” tambahnya.

    Berdasarkan tema PBB ‘Mari Membaca’, ia dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran awam untuk mencintai dan mendaulatkan Bahasa Melayu.

    PBB dibuka kepada orang ramai dari pukul 8:30 pagi hingga 10 malam manakala pada hari Jumaat dari pukul 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan disambung pada sebelah petang dari pukul 2 petang hingga 10 malam.

    Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi PBB 2022 dan mengambil peluang menyertai beberapa aktiviti yang telah disusun seperti peraduan mewarna, mari bercerita, persembahan pentas, bengkel, kuiz dan banyak lagi. Selain itu, 23 buah buku baharu yang diterbitkan oleh DBP akan dilancarkan sempena hari pelancaran PBB 2022 esok.

    Pada tahun ini, lebih 20 pembekal buku termasuk agensi kerajaan, kedai buku tempatan termasuk dari Kesultanan Oman dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai pesta buku kali ini.

    Kanak-kanak tidak melepaskan peluang menggunakan ruang membaca yang disediakan di pesta tersebut.
    Dayang Nor Rafidah semasa ditemui media menjelaskan Taman Tema yang diadaptasi melalui buku-buku cerita rakyat menjadi salah satu tarikan pesta buku kali ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda