Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Pengguna buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Pesta Pengguna (CF) yang dinanti-nantikan membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas setelah dua tahun ditiadakan, dan akan berlangsung selama lima hari.

    Perasmian pesta tahunan bagi edisi ke-26 itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Penasihat D’Sunlit Sdn Bhd, Pengiran Haji Salleh Ab-Rahaman.

    Pengurus Eksekutif D’Sunlit Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah dalam ucapannya menjelaskan, tema Pesta Pengguna tahun ini adalah Celebrating Love, yang merupakan perkara penting dalam kehidupan semua orang.

    Pesta Pengguna tahun ini menawarkan pelbagai produk yang menarik dan juga perkhidmatan dari pelbagai syarikat terkemuka di negara ini.

    Penyertaan rakan kongsi kali ini juga amat menggalakkan, iaitu Brunei Press Sdn Bhd selaku media cetak rasmi, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku bank rasmi, imagine Sdn Bhd selaku penyedia perkhidmatan Internet rasmi, Oregon System selaku penyedia perkhidmatan CCTV, Aewon Garment and Embroidery Sdn Bhd, IBIC Sdn Bhd, Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Mixmedia, Dart Logistics, NBT (B) Sdn Bhd, Olive Tree Corporation Sdn Bhd (Pizza Hut) dan Leron Enterprise Sdn Bhd.

    Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud mencuba permainan maya pada petak syarikat telekomunikasi, Progresif selepas perasmian Pesta Pengguna di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas kelmarin. Pesta tersebut membuka tirainya selepas dua tahun ditiadakan akibat pandemik. – Gambar serahan Progresif
    Pengiran Mohammad Amirizal semasa mengunjungi petak Perbadanan TAIB pada perasmian Pesta Pengguna ke-26 kelmarin. – Gambar Bahyiah Bakir
    Pengiran Mohammad Amirrizal, Pengiran Haji Salleh Ab-Rahaman dan Jackson Ting merasmikan Pesta Pengguna ke-26 pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Pengunjung mencuba produk yang ditawarkan di salah satu petak di Pesta Pengguna ke-26 kelmarin. – Gambar Bahyiah Bakir

    Beberapa pengusaha kecil dan sederhana juga turut memeriahkan lagi Pesta Pengguna dengan menawarkan pelbagai produk kecantikan, pakaian, makanan, minuman dan banyak lagi.

    Selain aktiviti menarik yang dianjurkan oleh rakan-rakan kongsi acara, Pesta Pengguna sekali lagi melibatkan Keluarga CF termasuklah Babah, Babu, Boboi dan Alai yang akan membuat penampilan pada acara yang menawarkan promosi serta pelbagai aktiviti buat para pengunjung.

    Satu lagi aktiviti yang dinantikan ramai adalah Cabutan Bertuah Utama Pesta Pengguna di mana semua orang berpeluang untuk membawa pulang hadiah yang menarik.

    Hadiah utama bagi edisi kali ini ialah Toyota Wigo, yang ditaja oleh Toyota Brunei – NBT Brunei Sdn Bhd. Orang ramai juga diingatkan dan digalakkan untuk membawa beg boleh diguna semula sendiri bagi semua keperluan membeli-belah.

    Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Pengarah Urusan Di’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting, wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, rakan kongsi, duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi ke Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda