Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PFNBD adakan majlis bersungkai dan tahlil

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dengan matlamat untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan rasa kekitaan dalam kalangan ahli-ahlinya, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) mengadakan Majlis Bersungkai dan Tahlil pada 8 April lalu.

    Majlis berlangsung di rumah Yang Di-Pertua PFNBD, Awang Yusma Bahrin bin Dato Paduka Haji Mohd Yusof di Kampung Manggis 2.

    Menurut kenyataan daripada PFNBD, di sini, majlis itu merupakan acara tahunan bagi pertubuhan berkenaan di mana ia di bawah kendalian Bahagian Keagamaan PFNBD dan dihadiri oleh ahli-ahli pertubuhan termasuk Yang Di-Pertua PFNBD serta penasihat-penasihat pertubuhan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil beramai-ramai yang diketuai oleh ahli Jawatankuasa Keagamaan PFNBD, Haji Shahrul Azrimin bin Haji Bidin.

    Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian Sumbangan Kutipan Derma Khairat kepada beberapa orang ahli yang ahli keluarga mereka baru sahaja kembali ke rahmatullah yang telah disampaikan oleh Awang Yusma Bahrin.

    Majlis kemudian menyaksikan berbuka puasa bersama-sama sebelum menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah dan kemudian menikmati jamuan.

    Antara tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk meraikan bulan Ramadan dengan mengadakan tahlil bagi ahli-ahli berserta kaum keluarga ahli PFNBD yang telah kembali ke rahmatullah.

    Dengan adanya majlis berkenaan, ia dapat merapatkan lagi tali persaudaraan dan rasa kekitaan antara ahli pertubuhan serta juga sebagai kemuafakatan bagi sama-sama menunjukkan rasa simpati sesama ahli yang kehilangan ahli keluarga dalam bulan Ramadan ini.

    Penyampaian Sumbangan Derma Khairat oleh Awang Yusma Bahrin kepada salah seorang penerima di Kampung Manggis 2. – Gambar serahan PFNBD
    Sesi Bergambar Ramai bersama YDP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda