Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    PGGMB semarak Pesta Sukan Ria Sekolah-sekolah

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV- Empat buah sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) dari cawangan Sungai Akar, Madang, Lambak dan Kuala Belait telah mengambil bahagian dalam Pesta Sukan Ria Sekolah-sekolah PGGMB 2023 yang berlangsung di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada 21 November lalu.

    Pesta sukan tahunan itu dikendalikan oleh Sekolah PGGMB Sungai Akar dan hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed. Turut hadir ialah Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.

    Acara dimulakan dengan perbarisan lalu para peserta bagi tiap-tiap pasukan di mana antara yang terlibat adalah Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA).

    Acara diteruskan dengan Yang Berhormat Awang Zainol diperkenalkan kepada ketua-ketua pasukan.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Haji Ali @ Mustapa bin Haji Talip merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada sekolahnya untuk mengendalikan acara berkenaan bagi 2023.

    Beliau menyatakan bahawa acara sukan tahunan itu bermatlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan guru dan ibu bapa murid-murid serta meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan melalui acara sukan.

    Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Awang Zainol memotong reben bagi menyempurnakan perasmian acara sukan berkenaan dan diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang acara padang yang dipertandingkan pada pusingan awal acara berkenaan.

    Pertandingan dibahagikan kepada empat bahagian mengikut kumpulan iaitu bahagian acara sukan ria, acara trek, acara padang dan acara ibu bapa. Antara acara trek yang dipertandingkan ialah larian 50m, 70m, 100m, 400m dan 600m serta lari berganti-ganti 50M. Manakala acara padang ialah lompat jauh dan lontar peluru. Pesta sukan diakhiri dengan acara-acara larian 800m dan 8,000m yang disertai oleh ibu bapa.

    Sukan Ria Sekolah-sekolah PGGMB kali pertama diadakan pada 2022 yang telah dikelolakan oleh Sekolah Tunas Jaya PGGMB Madang.

    Yang Berhormat Awang Zainol bergambar ramai dengan Haji Awang Abdul Alim dan ahli jawatankuasa PGGMB selepas merasmikan acara berkenaan di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – GAMBAR SERAHAN PGGMB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...