Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pengurangan tempoh minimum perkhidmatan bagi pekerja di sektor swasta untuk mendapatkan kelayakan cuti sakit daripada enam bulan kepada satu bulan perkhidmatan.
Perubahan berkenaan adalah berbentuk sementara yang berkuat kuasa pada 9 Mac 2020 hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian dan tertakluk kepada situasi COVID-19 yang sedang ditangani pada masa ini.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong mengumumkan perubahan berkenaan pada Sidang Media bagi Status Terkini COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa Jabatan Buruh telah mengambil tindakan meneliti peruntukan undang-undang berhubung kelayakan cuti sakit yang digariskan dalam Perintah Pekerjaan 2009.
Penelitian berkenaan dibuat setelah mengambil kira kepentingan orang awam dalam mana negara sedang menghadapi situasi pandemik pada masa ini.
Beliau seterusnya menambah, tujuan utama pindaan berkenaan adalah bagi menjaga kemaslahatan pekerja-pekerja di sektor swasta yang belum mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam bulan.
“Jika pekerja tersebut terpaksa menjalani cuti tidak bergaji semasa menjalani perintah kuarantin dan pengasingan diri atas arahan pihak kerajaan bagi tempoh minimum selama 14 hari atau lebih,” tambahnya.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, ini juga tertakluk kepada rawatan lanjut jika diperlukan yang mana sangat kritikal dalam membendung penularan wabak COVID-19 dan menjaga kebajikan individu terlibat.
“Tempoh satu bulan yang dicadangkan adalah untuk menyeimbangkan kepentingan majikan supaya mana-mana pekerja yang terlibat telah sekurang-kurangnya menyumbang kepada syarikat di mana pekerja berkenaan berkhidmat,” tambah beliau.
Yang Berhormat Pehin berkata, pindaan juga telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk Manpower Planning and Employment Council dan beberapa buah syarikat swasta yang turut terjejas dengan penularan wabak COVID-19.
Dalam beberapa sesi sidang media sebelum ini, jelas Yang Berhormat Pehin, pelbagai langkah dukungan juga telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi ll yang dihulurkan kepada syarikat-syarikat di sektor swasta dan individu bagi mengimbangi impak daripada COVID-19.
Dengan adanya langkah ini, ujarnya, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berharap dan meminta kerjasama setiap majikan untuk terus menjaga kebajikan pekerja masing-masing dengan memberikan alternatif-alternatif lain dalam menangani impak kepada pekerja masing-masing.
Ini seperti memberikan cuti tahunan secara pendahuluan bagi mereka yang belum layak cuti sakit iaitu bagi mereka yang masih belum terlindung dengan pindaan berkenaan di samping melaksanakan waktu kerja fleksibel selain mencalonkan pekerja untuk menjalani program-program reskiling dan upskiling dan seumpamanya.
Ketika menjawab persoalan mengenai pasar-pasar yang masih lagi kurang mempraktikkan penjarakkan sosial dan keramaian orang di pasar-pasar yang kebanyakannya dikunjungi warga emas, Yang Berhormat Pehin menjelaskan pasar-pasar ikan dan sayur akan diasingkan dan menasihatkan orang ramai agar memastikan orang lebih muda untuk berkunjung ke pasar berbanding warga emas yang berisiko.
Untuk keterangan lanjut mengenai cuti sakit, orang ramai khasnya majikan boleh berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2301848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).