Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Dalam usaha berterusan bagi mencegah jenayah di kawasan kampung, operasi-operasi rondaan terus dilaksanakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) di seluruh negara.
Di Kuala Belait, Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah menjalankan operasi rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli PK Kampung Panaga 2000.
Mengetuai rondaan tersebut ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Panaga, Inspektor Mikhail Iman bin Abdullah Lee dan dua orang anggota Balai Polis Seria. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PK RPN Kampung Panaga, Awang Zaleha bin Lahap bersama 11 orang ahli PK kampung tersebut.
Rondaan berjalan kaki telah dijalankan di kawasan Jalan Karuak, Jalan Kalajiau, Jalan Taripas, Jalan Puragam dan Jalan Parak.
Rondaan serupa juga dijalankan oleh Balai Polis Belait bersama ahli-ahli PK Kampung Pandan B di kawasan Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Abdul Momin, Sekolah PGGMB, Kawasan Pandan, Jalan Maulana dan kawasan di bawah tadahan ketua Kampung Pandan B.

Hadir mengetuai rondaan ialah Koperal 2721 Shamsudin bin Haji Naim bersama seorang anggota balai dan melibatkan tiga orang ahli PK.
Semasa rondaan, kedua-dua balai dan ahli PK tersebut tidak ada menjumpai kejadian jenayah atau perkara yang tidak diingini berlaku.
Manakala itu, di Daerah Tutong, ahli PK Batang Mitus dan Kebia tidak ketinggalan dalam sama-sama menanai tanggungjawab bagi menjaga keselamatan kampung mereka.
Mengetuai rondaan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Mohd Zulfadli bin Haji Awang Yusof bersama Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus dan Kebia, Awang Suhili bin Alas bersama empat orang ahli PK Kampong.
Tumpuan rondaan adalah di kawasan Jalan Kecil Batang Mitus, Jalan PDS, Jalan Paip dan persekitaran rumah kediaman di kampung berkenaan.
Turut sama menjalankan rondaan serupa ialah ahli-ahli PK Kampung Pangkalan Batu bersama anggota Balai Polis Limau Manis.
Empat orang ahli PK dan anggota polis terlibat dalam membuat aktiviti rondaan berkenaan dan sepanjang pemantauan secara berjalan kaki di kawasan persekitaran tidak ada perkara yang menyalahi undang-undang didapati.
PDB menyarankan orang ramai agar melaporkan dengan seberapa segera jika mendapati perkara-perkara yang mencurigakan ke talian kecemasan atau memaklumkan ke balai-balai polis yang berdekatan.