Tuesday, March 11, 2025
33.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKBN diharap lahir lebih ramai belia berintegriti

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TEMBURONG, 17 FEB – Seperti pengambilan-pengambilan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) sebelumnya, pencapaian latihan PKBN terus-menerus menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri dengan mengekalkan Calak KeBruneian dalam melahirkan generasi belia Brunei yang siap siaga selaku pemacu pembangunan negara.

    Melalui program ini, para pelatih diharapkan akan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian dengan mengamalkan apa yang telah mereka pelajari.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-13 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Daerah Temburong, pagi tadi.

    Seterusnya Baginda bertitah dengan mengambil maklum bahawa dalam PKBN Pengambilan ke-13 ini, PKBN sekali lagi melakar sejarah dengan kesemua para pelatih berjaya menamatkan latihan PKBN dengan baik, selamat dan sempurna.

    “Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian ini ialah penerapan program Pre-Conditioning and Injury Management pada dua minggu pertama latihan dijalankan sebagai nilai tambah kepada para pelatih PKBN. Melalui inisiatif ini, ia telah dapat memastikan para pelatih mempunyai daya tahan kecerdasan fizikal, mental dan rohani dalam menempuh cabaran latihan PKBN ini,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Baginda seterusnya bertitah, dengan mengambil maklum semasa pengambilan PKBN ke-13 ini, beberapa model latihan baharu telah diperkenalkan iaitu program keagamaan dan kerohanian serta khidmat komuniti, Kepimpinan Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Kesihatan Mental dari Perspektif Islam, dan program pemedulian golongan-golongan sasaran.

    “Penambahan ini bertujuan untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan, kesedaran serta keprihatinan para pelatih terhadap isu-isu penting dan kontemporari bagi mempersiapkan mereka dalam mengharungi cabaran-cabaran terkini dan akan datang. Beta percaya dengan evolusi serta transformasi PKBN ini akan dapat menghasilkan lebih ramai lagi belia yang berintegriti, berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya tahan,” titah Baginda.

    Dalam titah, Baginda turut menekankan sudah tiba masanya untuk latihan PKBN ini diteliti semula akan tempoh latihannya sekiranya dapat dilaratkan kepada enam bulan.

    “Penambahan tempoh ini akan memberikan jangka masa latihan yang lebih kondusif dan mencukupi bagi mencapai matlamat utama latihan PKBN. Ia juga akan memperluas ruang untuk para pelatih menjalani latihan yang lebih efektif, komprehensif dan teratur. Di samping itu, mereka juga akan dapat menyesuaikan diri dengan kadar intensiti latihan secara berperingkat,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah dengan berharap supaya agensi-agensi yang berkepentingan sama ada sektor kerajaan, swasta dan badan persatuan bukan kerajaan (NGOs) akan dapat memberikan sokongan dan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan serta merealisasikan perancangan ini.

    Di kesempatan ini, Baginda turut bertitah dengan sukacita turut mengambil maklum bahawa buat julung kalinya seramai 15 orang alumni PKBN telah kembali untuk menyumbangkan khidmat mereka semula sebagai jurulatih yang diiktiraf di dalam bidang kemahiran kawad dan kemahiran latihan jasmani melalui Program Train-The-Trainers.

    Titah Baginda, program itu jelas sekali mampu untuk memperkasa kemahiran para alumni PKBN dalam membantu mengendalikan serta melaksanakan program-program di bawah Bahagian Khidmat Bakti Negara.

    “Pada masa yang sama, ia merupakan satu inisiatif untuk membuka peluang pekerjaan dan seterusnya menjadi rancangan penggantian dalam jangka masa panjang PKBN. Beta berharap program ini akan diteruskan lebih ramai penyertaan daripada alumni PKBN lain,” titah Baginda

    Di akhir titah, Baginda turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pelatih PKBN pengambilan ke-13 atas pengorbanan, ketekunan, dan dedikasi mengharungi liku-liku cabaran latihan dengan jayanya.

    “Tidak lupa juga diucapkan ribuan terima kasih kepada para ibu bapa dan penjaga serta ahli-ahli keluarga para pelatih atas suntikan semangat, bimbingan dan sokongan padu mereka yang berterusan.

    “Semoga para pelatih dan semua yang terlibat dalam melaksanakan program ini akan memperoleh berkat, hidayah dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda