Saturday, November 30, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKSKB jadi pusat sumber sejarah Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah mencapai hasratnya menjadi Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei (PKSKB) tahun ini, dan sesuai dengan usia penubuhannya yang telah mencapai 40 tahun.

    Hasrat ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dorongan daripada semua pihak khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku indung kepada PSB dan kerjasama berterusan daripada rakan strategik.

    Perkara ini dijelaskan oleh Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran PKSKB dan Bilik Koleksi Sumber Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri di Pusat Pengkajian Borneo, Anggrek Desa hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan PKSKB dan Bilik Koleksi Sumber Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Beliau seterusnya menambah, sejak penubuhannya pada tahun 1982, PSB terus berkembang maju dengan pelbagai pencapaian serta berjaya mengharungi cabaran dalam memelihara, mempertahan, melestari dan memartabatkan persejarahan negara di bawah pimpinan Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyampaikan ucapan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi diberikan penerangan mengenai koleksi yang dipamerkan di ruangan Pusat Pengkajian Borneo, Anggerek Desa.

    Antara koleksi sumber Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.

    Katanya lagi, “Pencapaian selama empat dekad di bawah pimpinan Allahyarham itu merangkumi usaha penyelidikan, pendokumentasian, pengumpulan, penyimpanan, pemuliharaan, pameran dan penerbitan.”

    Menurutnya, usaha ini selaras dengan tujuh dasar penubuhan PSB dan sesuai dengan visinya sebagai pusat sumber persejarahan Brunei yang autoritatif.

    “Sempena dengan pencapaian tersebut dan sebagai PKSKB, sebuah bilik rujukan khas sumber sejarah telah berjaya ditubuhkan yang dikenali sebagai Bilik Koleksi Sumber Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Jamil Al-Sufri,” tambahnya.

    Dengan penubuhan bilik ini secara langsung menjadi nilai tambah bagi mengembang dan meningkatkan kemudahan perkhidmatan rujukan dan kajian di PSB khususnya terhadap sejarah dan sistem kesultanan Negara Brunei Darussalam.

    “Bilik ini menyimpan lebih 3,427 buah koleksi termasuk bahan rujukan simpanan peribadi Allahyarham yang merangkumi buku, jurnal, majalah, artikel, manuskrip, salasilah, dokumen, risalah, gambar, surat, keratan akhbar, fail, rekod, kitab agama yang pernah digunakan oleh Allahyarham dan banyak lagi.

    “Dengan peninggalan yang bermanfaat dan bernilai tinggi akan dapat mendekatkan masyarakat dengan sejarah tanah air serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi pewaris bangsa Brunei untuk meneruskan legasi seorang tokoh sejarawan dan budayawan negara,” jelasnya.

    Selain itu, penubuhan bilik koleksi ini juga diharap dapat menjadikan PSB sebagai destinasi pilihan bagi mahasiswa dan siswi pengajian tinggi kerajaan dan swasta, pengkaji dan penyelidik sejarah untuk mendapatkan sumber rujukan mengenai sejarah dan sistem kesultanan Brunei ke arah mengembangkan dan meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam bidang persejarahan negara.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan tetamu yang lain menyaksikan koleksi yang dipamerkan di pusat berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda