Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Platform bincang kawalan pencemaran jerebu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Negara Brunei Darussalam, hari ini, menghoskan Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub Wilayah mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC) ke-21 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

    Mesyuarat dihadiri oleh para menteri dan perwakilan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, kebakaran hutan dan jerebu dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta setiausaha agung ASEAN.

    Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan antara lain menekankan mengenai isu yang memberikan impak terhadap rantau ini akibat pencemaran jerebu rentas sempadan sejak lebih dua dekad sebelumnya.

    Menurut beliau, impak daripada pencemaran berkenaan telah mengundang pelbagai masalah yang membahayakan alam sekitar, sumber alam semula jadi, kesihatan, pelancongan, pengangkutan dan pelbagai aktiviti sosioekonomi di beberapa buah negara ASEAN.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub Wilayah mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC) ke-21, bersama timbalan pengerusi mesyuarat dari Indonesia. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi ketika menyampaikan ucapan selaku pengerusi Mesyuarat MSC ke-21.
    Antara delegasi yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub Wilayah mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-21, kelmarin.

    Oleh itu, Yang Berhormat Dato menekankan kepentingan Mesyuarat MSC berkenaan sebagai satu platform bagi membincangkan serta memperkukuhkan lagi strategi dalam mengawal kebakaran hutan dan pencemaran asap jerebu merentasi sempadan yang menjadi masalah berulang sejak beberapa tahun kebelakangan.

    “Isu jerebu memerlukan komitmen yang berterusan dan bersungguh-sungguh bagi membasmi masalah ini. Saya percaya kerjasama merupakan kunci bagi kejayaan,” ujarnya.

    Beliau menyeru supaya tidak hanya melihat kepada isu tetapi juga fokus terhadap penyelesaian dan mendorong satu sama yang lain untuk mencapai pelan kebangsaan dan sasaran bagi menyingkirkan masalah jerebu.

    Menurut Pusat Kaji Cuaca Khas ASEAN (ASMC), kondisi panas dan kering di bahagian selatan ASEAN dijangka berlaku pada Ogos hingga Oktober ini dan keadaan cuaca berkenaan boleh menyebabkan peningkatan aktiviti titik panas dan peningkatan risiko berlakunya jerebu merentasi sempadan.

    Sehubungan itu, negara-negara MSC berikrar untuk tetap dan terus berhati-hati serta mengawasi dan meningkatkan usaha pencegahan jerebu bagi meminimumkan sebarang kemungkinan berlakunya pencemaran asap jerebu merentas sempadan pada tempoh cuaca kering.

    Negara-negara MSC pada mesyuarat berkenaan menyatakan kesediaan mereka dalam memberikan bantuan seperti pengagihan sumber keperluan teknikal untuk memadam kebakaran pada situasi tindak balas kecemasan jika diperlukan dan kerjasama antara negara-negara MSC bagi mengurangkan kebakaran hutan apabila diperlukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda