TOKYO, 27 APRIL – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berlepas hari ini untuk lawatan empat hari ke Vietnam dan Filipina, dalam usaha Tokyo memperkukuh hubungan serantau selepas tindakan tarif agresif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Lawatan Ishiba itu menyusul selepas Presiden China, Xi Jinping, mengadakan lawatan Asia Tenggara untuk menempatkan Beijing sebagai alternatif stabil kepada AS ketika pemimpin itu berusaha menentang tarif Trump.
Sebelum berlepas, Ishiba menyifatkan Vietnam, Filipina dan negara Asia Tenggara lain sebagai ‘pusat pertumbuhan dunia’ yang semakin penting dalam ekonomi global.
Namun, beliau mengakui bahawa negara-negara tersebut berdepan ‘impak besar’ akibat tarif meluas yang dikenakan oleh Trump, yang bukan sahaja menggugat negara terlibat tetapi turut menjejaskan syarikat Jepun yang beroperasi di rantau itu.
Kata Ishiba, “Kami ingin mendengar sendiri pandangan dan kebimbangan syarikat Jepun di rantau ini, untuk merangka pendekatan terbaik dalam menangani isu tarif ini.”
Walaupun Jepun pelabur asing terbesar di AS, ia tetap terjejas dengan tarif tinggi Trump terhadap kereta, keluli dan aluminium.
Jepun termasuk dalam senarai negara yang dikenakan cukai 10 peratus, walaupun tarif tambahan 24 peratus ditangguh buat sementara waktu ini.
Trump turut menangguh tarif ‘timbal balik’ sebanyak 46 peratus ke atas Vietnam dan Kemboja 49 peratus, di mana banyak firma Jepun telah memindah operasi pengeluaran untuk mengurangkan kesan perang perdagangan AS-China sebelum ini. – AFP
