Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    PM Malaysia tiba di Brunei

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, petang ini berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail serta rombongan yang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam.

    Juga hadir bagi mengalu-alukan ketibaan TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Menteri Pengiring dan isteri.

    Juga berada di LTAB ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato
    Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan isteri; Menteri
    Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan isteri; Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu dan isteri; Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin dan isteri; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri.

    Majlis sambutan rasmi dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara. TYT Perdana Menteri Malaysia kemudiannya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).TYT Perdana Menteri Malaysia seterusnya diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dan isteri; pemerintah ABDB dan isteri; ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam; dan setiausaha-setiausaha tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia disembahkenalkan kepada rombongan TYT Perdana Menteri Malaysia termasuk Menteri Luar Negeri Malaysia, TYT Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri.

    Semasa lawatan rasmi itu, TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri serta rombongan dijangka akan mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Istana Nurul Iman esok.

    Ini merupakan lawatan rasmi pertama TYT Perdana Menteri Malaysia ke Negara Brunei Darussalam sejak pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2022.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail serta rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan mengalu-alukan ketibaan TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan memperkenalkan TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada ketua-ketua perwakilan luar negara.

    TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim memeriksa perbarisan sejurus ketibaan di LTAB, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...