KUALA LUMPUR, 26 FEB – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan Menara Kinabalu iaitu pusat pentadbiran negeri Sabah pada 31 Disember tahun lepas, namun tiada pertuduhan dikenakan terhadap penganjur.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata dalam perhimpunan itu terdapat dua pihak yang menyokong dan menentang pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kegagalan menghantar notis pemberitahuan yang lengkap kepada pihak polis dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sabah pada 10 Februari lepas.
“Hari ini Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas kedua-dua penganjur. Polis akur dan menerima baik keputusan itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Razarudin berkata pihaknya menjalankan siasatan secara adil dan saksama berhubung kes terbabit.
Mengulas lanjut, beliau berkata berlandaskan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan sama ada memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding adalah tertakluk di bawah bidang kuasa peguam negara. – Bernama
