Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Korea Selatan diletakkan dalam tugasan darurat tahap tertinggi

    SEOUL, 14 MAC – Polis Korea Selatan akan diletakkan dalam tahap tugasan darurat tertinggi pada hari Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusan mengenai pendakwaan Presiden Yoon Suk Yeol nanti, kata Pemangku Ketua Agensi Polis Negara, Lee Ho-young, hari ini.

    Menurut agensi berita, di bawah arahan itu, 100 peratus anggota polis akan digerakkan, dengan kira-kira 20,000 pegawai dari 337 unit dikerahkan di seluruh negara.

    “Kami akan meminimumkan kekeliruan sosial sebelum dan selepas keputusan pendakwaan dengan mewujudkan sistem tindak balas menyeluruh,” katanya dalam mesyuarat membincangkan persiapan menghadapi hari berkenaan.

    Bagi memastikan keselamatan mahkamah dan para hakimnya, polis akan menempatkan pasukan keselamatan peribadi, detektif serta unit operasi khas.

    Polis rusuhan, lengkap dengan peralatan perlindungan dan penyembur lada, akan ditempatkan di Dewan Negara, mahkamah serta ibu pejabat parti politik utama, antara lokasi lain.

    “Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang perbuatan mencabar pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang, termasuk pemusnahan kemudahan atau serangan terhadap pegawai polis, berdasarkan prinsip toleransi sifar,” kata Lee.

    Mahkamah Perlembagaan masih belum mengumumkan tarikh keputusan berhubung pendakwaan Yoon, namun ramai menjangkakannya minggu depan. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 18 Februari 2025 menunjukkan Pegawai polis Korea Selatan berkawal di hadapan Mahkamah Perlembagaan di Seoul, Korea Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda