Tuesday, November 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis rampas kabel tembaga RM27,000, tiga suspek ditahan

    MELAKA, 12 NOV – Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel berjaya ditahan selepas satu aksi kejar-mengejar sejauh 65 kilometer dalam operasi berkelajuan tinggi di Lebuhraya Utara-Selatan, manakala seorang lagi suspek yang melarikan diri kini masih lagi diburu pihak polis, menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

    Beliau berkata, insiden itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis mengesan kenderaan yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di sekitar Jalan Parameswara pada jam 5:30 pagi pada 5 November lalu.

    Pihak polis mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti, namun pemandu kenderaan itu memecut melarikan diri.

    “Pasukan kami mengejar suspek sehingga ke KM239.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi, Negeri Sembilan,” katanya kelmarin.

    ACP Christopher menjelaskan, kenderaan suspek dipandu secara berbahaya sepanjang perjalanan, menyebabkan perlanggaran dengan lapan buah kenderaan di sekitar Jalan Bukit Palah dan lebuh raya tersebut.

    Kenderaan suspek akhirnya terbabas berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi, membolehkan anggota polis menahan tiga daripada mereka.

    Menurutnya, terjadi pergelutan antara polis dan suspek di tengah lebuh raya sebelum seorang daripada suspek melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

    Polis turut merampas 148 kabel tembaga telekomunikasi bernilai kira-kira RM27,000 serta pelbagai peralatan termasuk parang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri kabel.

    Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 26 hingga 38 tahun dan berasal dari Selangor itu memiliki 20 rekod kesalahan lampau berkaitan pecah rumah dan penyalahgunaan dadah. Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – ANN/The Star

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda