Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Sepanyol tumpas sindiket penyeludupan migran global

    MADRID, 9 OGOS – Polis Sepanyol berkata kelmarin bahawa mereka telah menum-paskan sindiket penyeludupan manusia global yang membawa pendatang dari India, Pakistan dan Bolivia ke Eropah dan Amerika Utara.

    Sejumlah 77 warga Sepanyol, Itali, Libya, Bolivia dan Mexico, termasuk enam ketua kumpulan kongsi gelap, telah ditahan di beberapa bandar Sepanyol, menamatkan siasatan selama dua tahun.

    Rangkaian jenayah itu menggunakan laluan kompleks untuk membawa pendatang Pakistan dan India ke Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, dan pendatang Bolivia ke Sepanyol, dengan bayaran antara AS$8,700 hingga AS$10,900.

    Lebih 200 pegawai polis terlibat dalam operasi bersama antara Sepanyol, Europol dan Penyiasat Keselamatan Dalam Negeri AS, menurut kenyataan polis Sepanyol.

    Pendatang terbang dari Pakistan dan India ke Bahrain, kemudian ke Mesir, dan akhirnya ke Libya. Dari sana, mereka menaiki bot kecil tanpa makanan atau air – dan tiba di pulau Lampedusa, Itali, 30 jam kemudian.

    Mereka tinggal di Turin di utara Itali, sebelum terbang ke Zaragoza atau Barcelona di Sepanyol.

    Ahli sindiket kongsi gelap kemudian memberikan dokumen perjalanan kepada pendatang untuk memasuki Mexico, di mana rangkaian rentas sempadan membawa mereka ke AS.

    Sementara itu, pendatang Bolivia akan transit melalui Mesir atau Libya sebelum tiba di Sepanyol.

    Penyiasat menggeledah 10 rumah dan agensi pelancongan dan menemui wang tunai berjumlah AS$545,000. – AFP

    Gambar fail bertarikh 15 Jun 2023 menunjukkan mangsa yang terselamat daripada kapal karam duduk di dalam gudang di pelabuhan di bandar Kalamata, selepas bot yang membawa pendatang karam di perairan antarabangsa di Laut Ionia. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda