NEW DELHI, 8 DIS – Seorang anggota polis menembak mati rakan sejawatnya menggunakan senapang AK-47 sebelum membunuh diri menggunakan senjata yang sama di Kashmir, menurut pihak polis, hari ini.
Insiden itu berlaku di dalam sebuah kenderaan polis yang dinaiki mereka berhampiran kuil Kali Mata di kawasan Rehembal, daerah Udhampur, kira-kira 198 km di selatan bandar Srinagar, ibu kota musim panas Kashmir yang dikuasai India.
“Dua anggota polis disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi terselamat. Mayat telah dibawa ke Kolej Perubatan Kerajaan Udhampur untuk bedah siasat dan prosedur lain,” kata pegawai kanan polis, Amod, merujuk kepada hasil siasatan awal.
Pihak polis telah mendaftarkan kes dan memulakan siasatan terhadap insiden itu.
Sementara itu, anggota polis yang terselamat dalam kejadian tersebut sedang disoal siasat.
Pemberontakan selama lebih tiga dekad di wilayah itu, beberapa insiden bunuh diri dan fratricide (pembunuhan antara rakan sejawatan) dalam kalangan anggota tentera dan polis yang bertugas dilaporkan.
Pakar kesihatan menjelaskan bahawa pemisahan berterusan daripada keluarga, waktu tugas yang panjang, kekurangan kemudahan rekreasi serta struktur kawalan dan arahan yang lemah sering menjadi punca kepada kejadian seumpama itu. – Xinhua