Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pollard mungkin terlepas Kejohanan Ragbi

    JOHANNESBURG, 28 JUN – Pemain bintang Springboks, Handre Pollard berkemungkinan terlepas Kejohanan Ragbi pada Julai depan akibat kecederaan betis, kata pengarah ragbi Afrika Selatan, Rassie Erasmus, kelmarin.

    Berita yang lebih menggembirakan buat juara dunia itu ialah pemain pertahanan, Damian Willemse telah pulih daripada kecederaan lutut dan bersedia untuk pertandingan hemisfera selatan.

    Afrika Selatan akan berentap bertemu Australia di Pretoria pada 8 Julai, New Zealand di Auckland pada 15 Julai dan Argentina di Johannesburg pada 29 Julai.

    “Satu-satunya kebimbangan sebenar ialah Handre. Damian sudah bersedia,” kata jurulatih yang memenangi Piala Dunia Ragbi 2019 itu.

    “Ini adalah kecederaan betis yang dia alami semasa beraksi bersama Leicester Tigers,” kata Erasmus, merujuk kepada Pollard.

    “Dengan kecederaan semula kami sentiasa agak gelisah dan itulah sebab mengapa kami mempunyai Elton (Jantjies) di sini, supaya Handre boleh pulih sepenuhnya dan kami tidak menolaknya terlalu awal,” jelasnya.

    Erasmus berkata, senario yang mungkin berlaku ialah Pollard akan bermain dalam sekurang-kurangnya satu daripada tiga perlawanan pemanasan pada Ogos menjelang Piala Dunia di Perancis pada bulan berikutnya.

    Afrika Selatan akan menentang Argentina, Wales dan New Zealand dalam perlawanan persediaan sebelum menentang Scotland di Marseille pada 10 September dalam perlawanan Piala Dunia pertama mereka.

    Mereka juga akan berentap dengan Romania, Ireland, pasukan ujian yang menduduki tangga teratas pada masa kini, dan Tonga dalam Kumpulan B, dengan juara dan naib juara kumpulan bergerak ke peringkat suku akhir. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda