BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Bersempena sambutan ulang tahun ke-15 esok, Poni Group, ingin mengumumkan tentang rangkaian perkhidmatan baharunya, ASTARI, yang akan dilancarkan secara rasmi pada tahun 2025.
Acara penting itu akan menandakan bukan sahaja pertumbuhan dan pencapaian syarikat itu sejak lebih 10 tahun bahkan juga komitmennya untuk menerajui tanggungjawab dalam kemampanan alam sekitar dan inovasi digital.
ASTARI, merupakan bahagian dan hab inovasi baharu yang akan menyediakan rangkaian komprehensif perkhidmatan di mana ia direka untuk membantu perniagaan menavigasi cabaran kompleks penjagaan alam sekitar sambil menerima yang terkini dalam pendigitalan dan automasi. Bidang kepakaran utama termasuk kemampanan dan perundingan ESG, perundingan alam sekitar, pengurusan air mampan, bandar pintar dan penyelesaian suria, IoT, kecerdasan buatan (AI), teknologi dron dan satelit, penyahkarbonan dan tenaga hijau, perancangan daya tahan perubahan iklim, penyejukan hijau, HVAC dan penyejukan, laporan dan pengimbangan pelepasan karbon serta pendigitalan dan automasi.
Antara lain tujuan pelancaran ASTARI adalah untuk memajukan usaha global ke arah penyahkarbonan, daya tahan perubahan iklim, peralihan kepada tenaga hijau dan matlamat pembangunan mampan (SDG). Dengan memanfaatkan alat digital canggih seperti AI, IoT, teknologi dron dan satelit, ASTARI menyasarkan untuk mencipta strategi yang boleh disesuaikan dan dipacu data yang tidak hanya memenuhi permintaan alam sekitar hari ini, tetapi juga membantu membuka jalan ke arah yang lebih hijau, lebih bijak dan masa depan yang lebih mampan.
Di samping itu, Poni Group juga akan menandatangani beberapa memorandum perjanjian (MoA) dengan peneraju industri antarabangsa yang dihormati dalam sektor kemampanan dan teknologi yang mencerminkan pengembangan berterusan kumpulan tersebut ke dalam bidang perkhidmatan utama itu.
Komitmen Poni Group terhadap kesediaan perubahan iklim, pemuliharaan marin dan teknologi penyahkarbonan menggariskan wawasan jangka panjang syarikat tersebut untuk masa depan yang mampan dan maju dari segi teknologi.
Kumpulan itu terus meneroka penyelesaian inovatif dalam sektor marin, alam sekitar dan tenaga untuk membantu industri mencapai SDG dan Wawasan 2035 ketika menangani tekanan dan cabaran global cabaran akibat daripada perubahan iklim.