Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Darussalam Enterprise (DARe) telah melancarkan sebuah portal direktori dalam talian yang menyediakan pautan laman sesawang ke platform-platform eDagang, penyedia perkhidmatan penghantaran dan logistik, serta laman sesawang rasmi Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan AITI dan DARe, portal www.ekadaibrunei.bn bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membeli pelbagai keperluan secara dalam talian.
Ia juga membolehkan para pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memilih platform eDagang yang dapat menempatkan produk dan perkhidmatan mereka dalam talian sebagai saluran alternatif untuk para pelanggan.
Projek yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media pada 28 Mac lalu itu merupakan usaha sama antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, AITI dan DARe.
Kenyataan menyatakan, matlamat projek adalah untuk memudah cara peralihan peniaga ke platform eDagang dan perkhidmatan penyedia penghantaran bagi memudahkan pembelian dalam talian kepada orang ramai.
Pada masa ini, tambah kenyataan, beberapa platform eDagang tempatan yang dapat menampung jumlah pendaftaran vendor yang tinggi telah dikenal pasti yang mempunyai kaedah pembayaran dalam talian dan perkhidmatan penghantaran.
Beberapa penyedia per-khidmatan penghantaran dan logistik seperti Jabatan Perkhidmatan Pos, Brunei Delivery Services dan Dart juga dikenal pasti sebagai perkhidmatan yang dapat memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.
Pengusaha-pengusaha PMKS digalakkan untuk menggunakan platform-platform berkenaan.
Ke arah itu, mereka perlulah meneliti platform-platform tersebut sebelum menentukan kesesuaiannya dengan perniagaan masing-masing.
Untuk sokongan perniagaan lanjut, para pengusaha PMKS boleh meng-hubungi pihak DARe untuk membincangkan dan berkongsi keperluan mereka.
Pihak AITI dan DARe juga menjemput penyedia-penyedia platform eDagang dan perkhidmatan penghantaran lain yang mempunyai keupayaan yang dikehendaki untuk memenuhi keperluan PKMS untuk mendaftar di portal berkenaan.