Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PPB anjur majlis penghargaan rakan-rakan strategik 2023

    Oleh Ak Zaki Kasharan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Bagi menghargai sokongan serta kerjasama daripada rakan-rakan strategiknya, Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah mengadakan majlis penghargaan di Kompleks Sukan Jerudong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin yang turut menyempurnakan menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati penghargaan kepada rakan-rakan strategik PPB.

    Majlis Penghargaan Rakan-rakan Strategik PPB 2023 merupakan inisiatif pusat berkenaan untuk menjemput rakan-rakan strategik yang telah banyak memberi sokongan serta kerjasama dalam apa juga program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh pusat tersebut ke arah melahirkan modal insan yang dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan belia serta komuniti.

    Pihak PPB telah menyasarkan penglibatan sebanyak 40 syarikat yang dijemput pada majlis berkenaan yang terdiri daripada syarikat-syarikat dan agensi aktif dalam menjayakan program-program atau kursus-kursus baharu yang berpotensi dan marketable, termasuk bekerjasama melaksanakan Program Artisan Skills dengan pusat-pusat belia di keempat-empat daerah, penerimaan latihan industri dan tawaran pekerjaan pelatih-pelatih PPB, dan kerjasama dalam penyediaan platform keusahawanan.

    Di samping meraikan dan memberikan tanda penghargaan kepada rakan-rakan industri sama ada dari sektor awam mahupun swasta atas kerjasama dan sokongan kepada lepasan pelatih, acara tersebut juga memberi peluang bagi PPB memahami pasaran industri serta bertukar-tukar pandangan dan berkongsi percambahan idea mengenai projek atau apa jua kerjasama strategik yang dapat difikirkan.

    Pada masa yang sama, acara tersebut juga diharap dapat menjalin kerjasama antara PPB dan rakan strategik khasnya dalam memberikan peluang pekerjaan mahupun keusahawanan bagi para belia dan komuniti, seterusnya menjadikan rakan industri sebagai sumber rujukan khasnya bagi menjalankan kursus yang dikenal pasti mempunyai pasaran dan pekerjaan di negara ini.

    Haji Zakaria semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil rakan strategik PPB. – Gambar serahan PPB
    Haji Zakaria bergambar ramai dengan tetamu yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar serahan PPB

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...