Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Usaha terus dilaksanakan untuk menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran bukan sahaja golongan belia tetapi juga kumpulan sasaran komuniti yang inklusif termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) menerusi program-program latihan kemahiran yang disediakan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB).
Sesuai dengan visinya, memperkasa komuniti ke arah kecemerlangan, PPB berhasrat untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan latihan kemahiran yang mempunyai kumpulan sasaran komuniti yang inklusif termasuk golongan OKU, melalui pembangunan keupayaan yang dapat melahirkan sumber manusia pelbagai kemahiran abad ke-21 yang bersedia untuk masa depan serta dapat memenuhi keperluan industri dengan menerapkan kemahiran inovasi dan keusahawanan yang mampan.
Salah satu program yang diperkenalkan baru-baru ini ialah Program Komuniti, Kursus Atelier Fesyen dan Desain Pakaian (KAFDA) di mana ia merupakan latihan kemahiran secara peningkatan kemahiran yang terbuka kepada peserta yang sudah mempunyai kemahiran jahitan serta ingin mempelajari kemahiran rekaan grafik dengan mengendalikan hasil rekaan melalui aplikasi seperti Adobe Illustrator.
Kursus itu telah menyaksikan penyertaan seramai 14 orang peserta termasuk lima orang peserta yang terdiri daripada pelatih-pelatih Pusat Bahagia di mana setelah berjaya menamatkan kursus, hasil rekaan mereka telah dipamerkan dalam Pameran KAFDA yang diadakan di Bilik Pameran, Aewon Garment & Embroidery, Airport Mall, baru-baru ini.
Pameran KAFDA itu bermatlamat untuk menjadi platform kepada para peserta kursus untuk mempamerkan hasil rekaan tangan mereka masing-masing selama mengikuti kursus berkenaan.
Di samping itu, ia menyediakan peluang bagi business-matching dan mengenali dengan lebih dekat pengusaha-pengusaha tempatan dalam bidang industri tekstil dan kreatif.
Menerusi inisiatif itu, ia juga akan memberikan peluang dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang rekaan dan pembuatan pakaian ke arah membangun serta mengembangkan belia dan komuniti tempatan menjadi masyarakat yang berdikari yang akan membantu mengukuhkan ekonomi tempatan khususnya industri tekstil dan kreatif.
Salah seorang peserta kursus, Dayangku Amal Rasyidah binti Pengiran Othman menyatakan penghargaan kepada PPB, Kementerian kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta pihak Syarikat Aewon yang telah menyediakan perisian kursus dan fasiliti yang mencukupi dengan kemudahan asas pembuatan pakaian di mana ia menjadikan pengalaman pembelajaran itu, sesuatu yang menyeronokkan sepanjang tempoh kursus mereka.
Mengulas mengenai kursus itu, Dayangku Amal Rasyidah berkata, mereka didedahkan dengan beberapa perkara termasuk mencipta rekaan menggunakan perisian Adobe Illustrator, membuat dan menyukat pola baju, menjahit dengan menggunakan pelbagai jenis mesin jahitan dan pelbagai kemahiran yang mereka tidak pernah pelajari sebelum ini.
Beliau menambah bahawa peserta-peserta kursus mempunyai kemahiran dan latar belakang yang berbeza di mana ada yang mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan dan ada yang berkemahiran dalam bidang rekaan sahaja, ada juga mempunyai kemahiran dalam bidang yang berlainan seperti masakan dan dekorasi serta yang istimewa adalah penyertaan peserta dari Pusat Bahagia.
“Ini membuktikan perbezaan latar belakang bukanlah penghalang untuk kami mempelajari sesuatu yang baharu dan Alhamdulillah kesemua peserta memperoleh nilai ilmu dan kemahiran baharu atau value added,” ujarnya.
Mengulas mengenai penyertaan dalam pameran itu bersama rakan-rakan kursus yang lain, Dayangku Amal Rasyidah berkata, penyertaan mereka membuktikan hasil yang mereka peroleh dari KAFDA merupakan sebagai titik permulaan untuk melancarkan produk rekaan yang telah mereka hasilkan dan dipamerkan sebagai tanda kemahiran yang mereka peroleh itu boleh direalisasikan.
“Selain itu, pendedahan seperti ini adalah sangat penting bagi kami untuk lebih bergiat aktif dalam mengeluarkan produk tempatan.
“Segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi ini juga nanti akan dapat kami sumbangkan kepada industri kreatif mahupun industri fesyen di Negara Brunei Darussalam dan Insya Allah akhirnya menjadi penyumbang penting dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Tenaga pengajar bagi Kursus KAFDA dari Syarikat Aewon, Hajah Nur Amnani binti Haji Awang Mohd Taib berkata, setelah melihat potensi dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para peserta kursus, beliau merasa adalah sangat bertanggungjawab untuk memberikan lebih pendedahan kemahiran dalam kedua-dua bidang iaitu rekaan grafik dan bidang menjahit baju.
Beliau percaya bahawa jika mereka diberikan peluang dengan pendedahan yang bersesuaian tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan menjadi seorang pakar dalam jahitan atau bidang rekaan.
“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, melalui proses pembelajaran yang sedemikian, para peserta bukan sahaja dapat menambah kemahiran diri sendiri, bahkan ia sedikit sebanyak dapat menggalakkan mereka untuk terus mengenal pasti kecenderungan serta minat dan bakat mereka sendiri sama ada dalam bidang rekaan atau jahitan atau kedua-duanya sekali,” ulas Hajah Nur Amnani lagi.