Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Sempena Sambutan 102 Tahun penubuhan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran telah diadakan di Surau Polis Gadong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan bacaan Doa Kesyukuran, sebelum sembahyang Fardu Asar berjemaah diimamkan oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.
Majlis bertujuan bagi memohon keberkatan agar warga pasukan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan tugasan mencegah dan membanteras jenayah, dihindari daripada segala kesukaran dan kecelakaan dalam menjalankan tugasan harian.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin; Penguasa Polis Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI), para pengarah dan timbalan pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta kakitangan awam PPDB.