Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menyemarakkan Ilal Hijrah 1445 dengan majlis sambutan yang diselajurkan dengan Doa Kesyukuran bagi kepulangan jemaah haji PPDB di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis kendalian Badan Ugama Islam PPDB itu ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, pengarah-pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota dan kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar sebelum diserikan lagi dengan ceramah bertajuk ‘Hijrah dan Cabaran Masa Kini’ yang disampaikan oleh penceramah undangan Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Besar.
Ceramah antara lain meng-ungkap dan mengimbas kembali peristiwa peperangan hebat dalam sejarah Islam.
Antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa tersebut ialah kepentingan mentaati arahan pemimpin demi kejayaan dan keberkatan perjuangan.
Kemudian, majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban bagi meraikan jemaah haji PPDB yang telah selamat pulang ke tanah air dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.