Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPNBD sertai jambori di Selangor

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS– Kontinjen Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah berlepas meninggalkan negara, kelmarin, bagi menghadiri Jambori Nasional Pengakap Malaysia ke-14 dan Jambori Keamanan IUMS ke-8 di Millenium Park, Kota Kubu Bharu, Selangor dari 21 hingga 27 Disember ini.

    Kontinjen PPNBD diketuai oleh Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Ritchie Siabu dan dibantu oleh Penolong Pesuruhjaya Daerah (Pengakap Muda) Daerah Belait, Awang Mohammed Sufri @Bohari bin Haji Sabli, yang juga selaku penolong ketua kontinjen.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Hussin kepada Awang Ritchie Siabu.

    Kontinjen PPNBD terdiri daripada enam peserta, iaitu dua pemimpin dan tiga ahli Pengakap Muda dan seorang ahli Pengakap Remaja yang telah dipilih untuk mewakili PPNBD dalam jambori tersebut.

    Jambori dijangka menghimpunkan lebih dari 10,000 peserta daripada negeri-negeri di Malaysia termasuk peserta-peserta antarabangsa, selain itu jambori ini juga menjadikan salah satu perhimpunan pengakap terbesar di Malaysia.

    Tema jambori kali ini ialah Scouting for a Better World yang menekankan usaha membina dunia yang lebih baik melalui perpaduan, pendidikan dan aktiviti masyarakat.

    Jambori Malaysia ke-14 menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan kemahiran pengakap, bengkel kepimpinan dan pembangunan kendiri, aktiviti pemeliharaan alam sekitar dan pertukaran budaya melalui pertemuan peserta antarabangsa.

    Haji Junaidi menyerahkan bendera kepada Awang Ritchie. – GAMBAR SERAHAN PPNBD
    Haji Junaidi dan ahli PPNBD bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN PPNBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda