Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prabowo ke China, permulaan lawatan lima negara

    JAKARTA, 8 NOV – Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto, berlepas ke China bagi lawatan negara hari ini.

    Beliau memulakan lawatan lima negara termasuk pertemuan dengan presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ketika beliau berusaha untuk mengimbangi hubungan dengan kuasa besar pada perjalanan luar negara pertamanya.

    Prabowo, bekas jeneral berusia 73 tahun yang dilantik bulan lalu, berjanji untuk meletakkan Jakarta lebih menonjol di pentas dunia sambil kekal dengan dasar luar negara yang tidak berpihak.

    Sebelum berlepas, Prabowo berkata beliau akan terlebih dahulu melawat Beijing, di mana beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan Presiden China, Xi Jinping, kemudian ke Washington atas jemputan Presiden AS, Joe Biden.

    Lawatan itu akan merangkumi lawatan ke Peru untuk sidang kemuncak APEC dan Brazil untuk sidang kemuncak G20 negara ekonomi utama, sebelum berakhir di Britain, di mana beliau akan bertemu Perdana Menteri Keir Starmer, katanya.

    “Saya percaya ini menunjukkan penghormatan tinggi terhadap Indonesia dan kepentingan menjemput Indonesia untuk menyertai mesyuarat dua hala dan pelbagai hala,” kata Prabowo, menurut stesen penyiar Kompas TV.

    “Ini adalah penghormatan bagi kami, dan kami akan mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak.”

    Beliau juga berkata bahawa beliau mungkin akan melawat beberapa negara Timur Tengah dalam perjalanan pulang ke Indonesia selepas lawatan dua minggu tersebut.

    Masih tidak jelas sama ada lawatan beliau ke Washington akan melibatkan pertemuan dengan Trump, tetapi jurucakap presiden Prabowo, Hasan Nasbi, memberitahu AFP kelmarin bahawa ada kemungkinan perbincangan dengan Trump akan diadakan. – AFP

    Prabowo Subianto (gambar) hari ini berlepas ke China untuk mengadakan lawatan negara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda