Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prabowo rancang 15 projek mega

    BOGOR, 15 FEB – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa pentadbirannya akan meneruskan dasar hiliran  yang dirintis oleh Presiden Ketujuh, Joko Widodo (Jokowi), dengan melaksanakan 15 projek bernilai tinggi tahun ini.

    “Kita akan terus menggerakkan aktiviti hiliran. Tahun ini, kita akan memulakan usaha ini dengan sekurang-kurangnya 15 projek mega bernilai berbilion dolar. Perlu diingat, kita tidak akan bergantung kepada pelaburan asing,” katanya di Bogor, Jawa Barat kelmarin, lapor Antara.

    Berucap pada sambutan ulang tahun ke-17 Parti Gerindra yang dipimpinnya, Prabowo menegaskan bahawa Indonesia perlu meneruskan usaha hiliran sumber semula jadi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.

    Beliau turut menekankan bahawa Kabinet Merah Putih yang diterajuinya bersikap terbuka kepada pelabur yang ingin menyertai pelaksanaan dasar hiliran, namun kerajaan tidak akan merayu untuk mendapatkan modal pelaburan mereka.

    “Kita terbuka kepada pelabur asing yang ingin melabur di Indonesia. Namun, kita tidak akan merayu. Kita akan bangkit dengan kekuatan sendiri,” katanya.

    Prabowo menjelaskan bahawa usaha hiliran sumber semula jadi bagi meningkatkan nilainya selaras dengan misi utama pentadbirannya yang dikenali sebagai Asta Cita.

    Beliau turut menyatakan bahawa langkah hiliran ini akan merangkumi sektor maritim bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dengan matlamat membina ekonomi yang adil dan saksama untuk semua rakyat.

    Selain itu, beliau menegaskan bahawa dasar hiliran sejajar dengan visi Presiden Pertama Indonesia, Soekarno atau Bung Karno, yang memperjuangkan kemandirian dan kebergantungan kepada sumber sendiri.

    “Kita ingin merealisasikan impian Presiden Soekarno, memastikan negara ini mampu berdikari,” katanya.

    Selain aktiviti hiliran, Prabowo turut mengulangi komitmennya untuk melaksanakan keutamaan lain tahun ini, termasuk program Makanan Berkhasiat Percuma, mampu diri dalam bidang makanan, dan keselamatan tenaga. – Bernama/Antara

    Prabowo Subianto menyampaikan ucapan dalam satu majlis di Bogor, Jawa Barat, kelmarin. Prabowo rancang 15 projek mega. –  AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda