Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Presiden Filipina tiba untuk lawatan negara dua hari

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Presiden Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R Marcos Jr dan isteri, Louise Araneta Marcos tiba di Brunei Darussalam pada pagi hari ini untuk lawatan negara dua hari bagi mengukuhkan hubungan pertahanan dan ekonomi.

    Menurut Xinhua, dalam ucapan keberangkatan, Presiden Filipina berkata beliau dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengkaji kemajuan kerjasama dua hala, meneroka perkongsian baru yang saling menguntungkan dan kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kemakmuran.

    “Kita kini mesti mengeratkan ikatan persahabatan antara kedua-dua negara kita,” kata TYT Ferdinan R Marcos Jr, sambil menambah Filipina “menjangkakan untuk memuktamadkan beberapa perjanjian daripada keselamatan kepada pelancongan dan pertanian.”

    Presiden Filipina, TYT Ferdinand R Marcos Jr dan isteri disambut sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan isteri. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Baginda Sultan akan menerima Presiden Filipina di Istana Nurul Iman untuk Istiadat Sambutan Negara, diikuti dengan perjumpaan dan pertemuan, mesyuarat dua hala, dan menandatangani memorandum persefahaman.

    Presiden juga akan bertemu masyarakat Filipina, di mana beliau akan mengetengahkan sumbangan kepada lebih 25,000 warga Filipina yang kini menetap di Brunei.

    Presiden Filipina juga akan menghadiri forum perniagaan dan bertemu ahli tertinggi sektor perniagaan untuk mempromosikan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

    Sementara itu, Penolong Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar, Aileen Mendiola-Rau berkata dalam taklimat Istana Malacanang pada hari Jumaat bahawa Filipina dan Brunei dijangka menandatangani memorandum persefahaman mengenai bidang keutamaan, daripada pertanian kepada keselamatan makanan, kerjasama maritim dan pelancongan.

    Dari Brunei, Presiden berkata beliau akan terbang ke Singapura untuk menyampaikan ucaptama di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik Dialog Shangri-La mengenai keselamatan dan pertahanan yang bermula pada hari Jumaat. – Media Permata/Xinhua/Bernama

    Presiden Filipina dan isteri berjalan melintasi anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...