Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Ghanim International Corporation
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Ghanim International Corporation telah menembusi pasaran Republik Rakyat Bangladesh dengan pelancaran produk bruneihalalfoods di Pintu Masuk Unimart Lobi, Gulshan, Bangladesh, baru-baru ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Di samping pelancaran produk bruneihalalfoods di negara itu, majlis juga menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Ghanim International Corporation (Brunei) dan Zes Trading (Bangladesh).
Dengan penandatanganan itu, hubungan kerjasama kedua-dua buah syarikat berkenaan akan terus diperkukukan seterusnya meneroka pelbagai peluang perniagaan termasuk mengimport bahan mentah dari Bangladesh untuk pemprosesan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation, Dr Nur Rahman berkata bahawa semasa lawatan negara Perdana Menteri Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina ke Brunei pada April 2019, mereka telah melihat peluang untuk merealisasikan hubungan dua hala antara Brunei dan Bangladesh.
Selain itu, penandatanganan MoU tersebut berhasrat untuk membangunkan dan membawa produk Brunei ke Bangladesh.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Perdagangan, Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Tipu Munshi dan setiausaha-setiausaha tetap.